BINTULU: Cabaran Muay Thai Amatur Antarabangsa Bintulu Edisi Ke-3 (BAMC Vol. 3) kembali mewarnai pentas sukan tempur tempatan yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 29 Jun ini di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.
Pengerusi Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu, Hardi Sapiee berkata, lebih 200 peserta termasuk dari negeri dan negara luar bakal berentap dalam pelbagai kategori MuaySport, Semi-Pro, dan Pro, selain turut diselitkan acara Faceoff Wrestling Showcase dan Superfight Pro sebagai kemuncak aksi.
“Antara bout yang bakal mencuri tumpuan adalah pertembungan anak jati Bintulu, Awangku Abdul Rahman Awang Marajaya atau lebih dikenali sebagai Aman Koboi menentang pencabar dari Thailand, Janasuk.
“Selain Aman Koboi, BAMC Vol. 3 turut menyajikan perlawanan hebat membabitkan petinju dari Kelab Muaythai Kilas Petra Jaya, Kuching, Azhad Haziq Syafaat Abdul Khalid menentang petinju dari Tajikistan, Mehrubon Mardonoi, Omar Kuin menentang Danyal Johan dari Brunei Darussalam dan Aiman Taro menentang Rachasv Lion King dari Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang media BAMC Vol. 3 di Fairfield by Marriot Hotel, pada Sabtu.
Menurut Hardi lagi, acara timbang berat dan pemeriksaan kesihatan akan diadakan pada 26 Jun, disusuli dengan persembahan seni bela diri dan pengenalan peserta, manakala pertandingan rasmi berlangsung dari 27 hingga 29 Jun.
Penganjuran BAMC Vol. 3 yang diterajui Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sarawak dan Naim Street Mall, turut disokong pelbagai agensi kesihatan dan kerajaan.

Selain itu, katanya lagi, pelbagai aktiviti sampingan seperti Pertandingan Dart Double Open, pameran MyCHAMPION, kaunter kesihatan PeKa B40, sesi senamrobik dan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan melalui Lori Wellness on Wheel (WoW) turut diadakan.
Hardi berkata, BAMC Vol. 3 bukan sahaja medan pertandingan, malah platform mempromosi gaya hidup sihat dan memberi kesedaran awam terhadap inisiatif penjagaan kesihatan.
“Kejohanan ini mampu menyatukan elemen sukan dan kesihatan dalam suasana kekeluargaan. Kami menyeru orang ramai hadir menyokong Aman Koboi serta atlet lain dan raikan semangat kesukanan,” tambah beliau.
Warga Bintulu dan sekitar dijemput hadir beramai-ramai untuk menyaksikan kejohanan empat hari ini.

