KUCHING: Cadangan memperkenalkan produk pelaburan baharu seperti Amanah Saham Sarawak (ASSAR) 2 kepada masyarakat bukan Bumiputera Sarawak mencerminkan pendekatan inklusif Kerajaan Sarawak dalam pembangunan, kata Nicholas Wung Duk Ying.
Pemangku Setiausaha merangkap Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching itu berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tersebut menunjukkan pertumbuhan ekonomi Sarawak yang bertujuan untuk dikongsi kepada semua lapisan masyarakat.
Katanya, ia merupakan satu lagi contoh prinsip keterangkuman diterjemahkan kepada dasar, sebagaimana penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang menginstitusikan sokongan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam.
“Daripada hal ehwal agama kepada penyertaan ekonomi, Sarawak membuktikan bahawa keterangkuman bukan sekadar slogan, sebaliknya dilaksanakan melalui institusi dan dasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya cadangan itu juga menunjukkan landskap kewangan dan pelaburan Sarawak di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) semakin matang.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan, saluran pelaburan kedua yang dicadangkan itu berpotensi membentuk rangka kerja dana amanah tempatan yang lebih menyeluruh serta mengekalkan peranan sedia ada ASSAR.
Katanya, ia juga dapat menyediakan platform yang sesuai untuk masyarakat bukan Bumiputera Sarawak, pelabur muda, keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta pelabur kecil menyimpan dan melabur mengikut keperluan serta profil risiko masing-masing.
“Bagaimanapun, cadangan tersebut perlu dikaji secara teliti dengan memberi penekanan kepada pematuhan undang-undang, pengurusan risiko, perlindungan pelabur, ketelusan serta kemampanan jangka panjang,” jelasnya.
Ujarnya, dividen sebanyak 6.5 sen seunit yang diumumkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun lalu, melibatkan jumlah pembayaran RM34.35 juta kepada 57,926 pemegang unit, mencerminkan peningkatan keyakinan hala tuju pembaharuan dana tersebut.
“Justeru, usaha memperluas peluang pelaburan adalah sesuatu yang positif, namun melindungi pelabur kecil juga sama penting. Sebarang produk pelaburan yang ditawarkan kepada orang ramai mestilah selamat, telus, mudah difahami dan sesuai untuk penyertaan jangka panjang,” tegasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau juga menyambut baik gesaan Abang Johari agar rakyat Sarawak membudayakan amalan menabung dan melabur khususnya ketika ramai keluarga berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan kewangan pada masa hadapan.






