ARTIKEL

Capai unjuran pertumbuhan ekonomi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun penuh 2023 disebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ia susulan disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

Beliau berkata kerajaan terus mengutamakan untuk menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat sambil menumpukan usaha mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah.

Berkenaan prestasi ekonomi Suku Pertama 2023, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata ia disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masingmasing berkembang sebanyak 7.3 peratus dan 3.2 peratus.

“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 dipacu terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus pada suku pertama, lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau lain seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Prestasi pertumbuhan Suku Pertama 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus,” katanya.

Menurut kementerian tersebut, pertumbuhan suku pertama itu juga lebih baik berbanding Suku Pertama 2022 iaitu sebanyak 4.8 peratus manakala dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada Suku Pertama 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada Suku Keempat 2022.

Pasaran buruh terus mencatatkan momentum pertumbuhan pada Suku Pertama 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus pada Suku Keempat 2022.

“Kadar inflasi pada Suku Pertama 2023 menyederhana kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada Suku Keempat 2022, antara lainnya, berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan.

“Sementara kadar inflasi domestik terus mencatatkan trend penurunan kepada 3.4 peratus iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, kementerian itu berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar lebih perlahan akibat daripada kelembapan perdagangan global.

“Ketegangan geopolitik, tekanan harga tinggi dan kekangan keadaan kewangam juga terus menjejaskan prospek ekonomi dunia,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun 2023, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi. – Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU