KUCHING: Persatuan Sukan Orang Pekak Sarawak giat mencari ramai atlet pekak yang berkualiti untuk menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) dan temasya sukan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung tahun ini.
Presidennya, Ko Ming Liang berkata, walaupun ketika ini Sarawak telah mempunyai sekitar 54 atlet pekak, jumlah itu dijangka bertambah memandangkan negeri ini merupakan tuan rumah SOPMA 2025 yang dijadual berlangsung Oktober depan.
“Kita tahu masih ramai komuniti pekak di kawasan luar bandar yang belum kita capai,” katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan Larian Baton SOPMA di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Tambahnya, kesukaran mencari bakat baharu adalah kerana individu pekak sukar dikenal pasti kerana mereka seperti orang normal.
“Ada antara mereka yang tidak berada di sekolah khas, jadi agak sukar untuk kenal pasti mereka.
Contohnya pada 2024, kami berjaya kesan seorang atlet perempuan yang mengalami masalah pendengaran, bukan pekak sepenuhnya, dan dia kini mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG),” jelas beliau.
Ko juga memaklumkan, selain SOPMA, atlet pekak Sarawak juga akan menyertai Sukan ASEAN Pekak di Indonesia pada Ogos dan Deaflympics di Jepun pada November nanti.
“Untuk SOPMA tahun ini, sebanyak lima acara akan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, boling, orienteering dan futsal dengan penyertaan atlet dari semua 14 negeri di Malaysia.
Mengulas sambutan Larian Baton SOPMA yang menjelajah dari Miri hingga ke Kuching, beliau menyifatkan maklum balas orang ramai amat menggalakkan, meskipun ada sesetengah kawasan kurang penyertaan kerana kekangan publisiti.
-tamat


