SUBUH pertama Ramadan semalam hadir dengan rasa yang berbeza.
Jam loceng (kini jam telefon bimbit) berbunyi lebih awal daripada biasa, namun entah mengapa hati terasa lebih ringan untuk bangun.
Di meja makan pula, hidangan sahur dimasak mungkin sederhana iaitu nasi panas, telur goreng, segelas air kosong, tetapi suasananya tidak pernah biasa.
Semacam ada hikmahnya.
Ada sunyi yang sangat damai, ada doa yang dibaca perlahan-lahan, seolah-olah seluruh isi rumah berbicara dengan Allah SWT dalam bahasa yang paling jujur dari dalam diri.
Setiap 1 Ramadan bukan juga sekadar pertukaran tarikh dalam kalendar hijrah.
Ia ialah garis mula yang memisahkan rutin biasa dengan latihan jiwa.
Sesuai dengan kata-kata bahawa Ramadan ialah madrasah jiwa.
Kita menahan lapar dan dahaga sepanjang hari, tetapi lebih daripada itu, kita belajar menahan kata-kata, menahan marah, menahan prasangka dan segala perkara tidak baik yang mungkin menjadi kebiasaan pada hari-hari biasa.
Puasa juga bukan sekadar kita tidak makan dan minum.
Puasa ialah disiplin yang mengajar kita mengenal batas diri yang mungkin hilang sebelum ini.
Pagi pertama di pejabat atau di mana-mana sahaja terasa sedikit perlahan.
Wajah-wajah yang ditemui membawa senyuman yang sama iaitu senyuman orang berpuasa.
Ada ucapan “Selamat berpuasa” yang diulang-ulang, seolah-olah doa kecil yang saling kita kirimkan.
Dalam kesibukan tugas, kita menjadi lebih sedar akan waktu.
Setiap masa bertanya: “Pukul berapa dah jam tok?”
Jam seakan-akan bergerak perlahan menuju ke tengah hari, kemudian ke petang, dan akhirnya menunggu detik maghrib yang sangat dirindukan untuk berbuka puasa.
Kenangan
Ramadan juga membawa kita kembali kepada kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan iaitu zaman kanak-kanak dan remaja.
Dua zaman yang penuh dengan keterujaan.
Bangun sahur dengan mata separuh terbuka, pergi ke masjid bersama-sama ibu dan bapa untuk menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus, menunggu waktu berbuka dengan menghitung minit di corong radio atau di anjung rumah.
Ketika itu, berjaya berpuasa terasa seperti satu pencapaian besar.
Setiap hari yang berjaya ditempuh diraikan dengan penuh rasa bangga.
Setiap hari berjaya berpuasa akan dicatat pada kalendar.
Malah, ada guru yang memberikan sekeping kertas.
Setiap kali selepas berbuka puasa, setiap murid diminta memangkah pada petak khas.
Ini berlarutan sepanjang Ramadan.
“Ko berapa hari dah puasa?
Ada catat dalam kertas diberi cikgu,” tanya seorang rakan.
“Udah.
Aku full puasa,” jawab seorang lagi rakan.
Ia menjadi persaingan sihat siapa yang dapat berpuasa penuh sebulan.
Yang pasti ada hadiahnya.
Kini, apabila usia semakin bertambah, makna Ramadan juga berubah wajah.
Ia bukan lagi tentang ganjaran kecil ataupun pujian kerana berjaya berpuasa penuh selama sebulan.
Ia kini tentang muhasabah.
Tentang memperlahankan langkah dalam dunia yang terlalu laju.
Tentang memberi ruang kepada hati untuk berbicara.
Adakah kita sudah menjadi insan yang lebih sabar, lebih pemurah dan lebih jujur?
Sungkai
Petang pertama Ramadan biasanya membawa suasana yang sangat istimewa.
Di bazar Ramadan, orang ramai berpusu-pusu mencari juadah berbuka.
Aroma kuih-muih, ayam dan ikan panggang serta air balang memenuhi udara.
Namun di celah kemeriahan itu, ada pelajaran tentang kesederhanaan.
Kita diingatkan agar tidak berlebihan berbelanja.
Ini kerana inti pati Ramadan bukan pada meja yang penuh dengan makanan, tetapi pada hati yang merasa cukup.
Saat azan maghrib berkumandang, detik itu sentiasa menjadi keutamaan.
Seteguk air dan sebilah kurma terasa begitu bermakna.
Nikmat yang selama ini mungkin dipandang kecil, tiba-tiba menjadi luar biasa.
Di situlah puasa mendidik kita bahawa bersyukur lahir daripada rasa kekurangan yang difahami, bukan kemewahan yang melimpah ruah.
Malam pertama Ramadan pula disambut dengan saf-saf yang kembali terisi di masjid dan surau.
Ada yang sudah lama tidak hadir, kembali dengan harapan baharu.
Bacaan imam tenang mengalun ayat al-Quran, dan dalam setiap rakaat, kita membawa doa untuk keluarga, sahabat dan untuk diri sendiri yang sering alpa.
Tarikh 1 Ramadan juga jemputan untuk memperbaharui niat.
Jemputan untuk memaafkan dan dimaafkan.
Jemputan untuk memulakan sesuatu yang mungkin sudah lama kita tangguhkan iaitu untuk memperbaiki hubungan, menambah amal atau sekadar memperbaiki diri sedikit demi sedikit.
Ramadan tidak menjanjikan kita menjadi lebih sempurna dalam sebulan, tetapi ia memberi peluang kepada kita untuk berubah walaupun hanya satu langkah.
Dan, mungkin langkah kecil itulah yang paling besar maknanya dalam hidup kita.
Apabila malam semakin larut dan kita bersedia untuk sahur seterusnya, hati berbisik satu doa; semoga Ramadan kali ini tidak berlalu begitu sahaja.
Semoga setiap lapar yang ditahan menjadi saksi kesungguhan kita.
Semoga setiap doa yang dimohon tidak sekadar singgah di bibir, tetapi meresap hingga ke dalam jiwa, kerana pada akhirnya, 1 Ramadan bukan sekadar hari pertama bermulanya ibadah puasa.
Ia permulaan perjalanan kembali kepada fitrah, kembali kepada Allah SWT dan kembali mengenal diri kita yang sebenar.
Sama-sama kita jadikan Ramadan kali ini sebagai madrasah mengubah diri menjadi insan lebih baik.
Mungkin Ramadan ini peluang kedua untuk kita, dan juga mungkin peluang terakhir kita.
Selamat berpuasa.


