KUCHING: Kes kecurian kabel yang berlaku di seluruh Sarawak termasuk di kawasan Satok masih menjadi cabaran kepada pihak berkuasa walaupun pelbagai langkah pemantauan dan keselamatan telah dilaksanakan.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, antara lokasi yang sering terjejas ialah kawasan Jambatan Datuk Amar Juma’ani dan Jambatan Gantung Satok.
“Vandalisme ini tidak pernah berhenti. Tetapi pelakunya bukan hanya orang yang mencuri kabel, sebaliknya pembeli kabel curi juga perlu dipertanggungjawabkan.
“Jika tiada pembeli, sudah tentu tidak akan ada orang yang mencuri untuk menjual kabel tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Lampu Jalan Pintar Kampung Nombor Satok di Kompleks Sukan Padang SLPAS Satok, Jalan Muhibbah, pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak polis dapat meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko selain mendapatkan kerjasama masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.
Menurutnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan antara langkah yang akan diperluaskan bagi membantu usaha pencegahan dan pengesanan suspek.
“DBKU telah memohon dana dan peruntukan itu telah diluluskan. Kita akan melaksanakan pemasangan CCTV sebagai langkah seterusnya.
“Dalam bandar moden, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan kerana ia melibatkan kemudahan awam dan keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata kawasan Jambatan Gantung yang sebelum ini sering berdepan masalah sama kini berada dalam keadaan lebih terkawal selepas dilengkapi kawalan keselamatan dan CCTV.
Mengulas isu kecurian kabel secara keseluruhan, Ibrahim berkata masalah tersebut bukan sahaja menjejaskan lampu jalan, malah turut memberi kesan kepada infrastruktur utiliti lain termasuk pencawang elektrik.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan bahawa Sarawak Energy Berhad (SEB) turut mengalami kerugian besar akibat kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk operasi perlombongan mata wang kripto seperti Bitcoin.
Menurutnya, SEB kini menggunakan teknologi dron berimej haba (inframerah) bagi mengesan premis yang disyaki menjalankan aktiviti mencuri bekalan elektrik.
“Kita menggunakan dron berteknologi inframerah. Jika ada premis yang menunjukkan bacaan haba luar biasa terutama pada lewat malam, pasukan akan menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Melalui kaedah ini banyak kes telah berjaya dikesan dan tindakan pendakwaan telah diambil terhadap individu yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi moden akan terus dipertingkatkan bagi membendung jenayah berkaitan utiliti yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan syarikat utiliti.

