ARTIKEL

ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad

CCTV rakam pergelutan sebelum mangsa maut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Polis sedang mengesan seorang suspek disyaki terlibat dalam kes bunuh membabitkan penemuan mayat seorang lelaki di lorong berhampiran Jalan Horley, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya telah mengenal pasti pemilik dan pemandu sebuah lori bonded atau tertutup yang terbabit dalam kes itu.

“Kejadian disedari kira-kira 6 pagi tadi apabila seorang pekerja hotel memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuan seorang lelaki lengkap berpakaian terbaring di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berlumuran darah dengan kecederaan serius pada bahagian kepala dan belakang badan, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dikejar sebuah lori bonded putih sebelum berlaku pergelutan dengan suspek pada 4.24 pagi.

Abang Zainal Abidin berkata, mangsa kemudiannya jatuh di hadapan kenderaan itu sebelum digilis dan ditinggalkan di lokasi kejadian.

Beliau berkata hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan pada bahagian kepala dan dada akibat perlanggaran jalan raya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Mahani Mohammed di talian 019-261 8221 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.—BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU