KUCHING: Taktik penyebaran dadah pada masa ini dikesan semakin berubah dengan penggunaan cecair vape sebagai antara medium utama, selain pelbagai saluran lain termasuk minuman yang kelihatan seperti minuman biasa.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, trend semasa menunjukkan dadah sintetik semakin dominan berbanding dadah tradisional seperti heroin, morfin, opium dan candu.
“Sudah berlalu masa kita banyak jumpa dadah seperti heroin, morfin, opium dan candu.
“Sekarang dadah-dadah seperti itu bukannya hilang, tetapi kurang glamour dalam alam dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Media Sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Tambah beliau, dadah sintetik kini lebih mudah disalurkan melalui pelbagai cara termasuk vape, minuman dan paket minuman yang kelihatan seperti produk biasa tetapi mengandungi bahan terlarang.
“Jika dilihat secara rambang, ia nampak seperti minuman biasa, tetapi sebenarnya ia adalah salah satu cara bahan dadah disalurkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasaan terhadap dadah berbahaya perlu dilaksanakan secara berterusan dan pihak berkuasa perlu sentiasa berada selangkah di hadapan sindiket dadah.
“Penguatkuasaan termasuk kerajaan yang menggubal dasar perlu sentiasa selangkah ke hadapan daripada mereka yang terlibat dalam penyebaran dadah ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha membanteras dadah bukan sesuatu yang mudah dan tidak wajar dianggap sudah dimenangi walaupun pelbagai sasaran sifar dadah pernah diumumkan sebelum ini.
“Saya pernah dengar slogan sifar dadah dalam 10 tahun, sifar dadah dalam 5 tahun, tetapi selepas tempoh itu, ia tidak menjadi sifar malah meningkat.
“Perkara ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memerlukan komitmen bersama yang lebih kukuh di semua peringkat,” tambahnya.
Menjelas lanjut, beliau berkata, terdapat negara lain seperti New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura yang turut mempunyai belia, namun masih mampu mengawal masalah dadah dengan lebih berkesan.
“Kalau negara lain tidak menghadapi masalah besar walaupun mempunyai belia, bermakna ada aspek yang kita perlu perbaiki,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan vape kini menjadi antara saluran utama penyebaran dadah sintetik.
“Saya telah menyatakan bahawa vape yang digunakan untuk tujuan penyebaran dadah perlu diambil tindakan tegas.
“Bahkan, antara cabaran utama ialah kemungkinan wujud kepentingan tertentu yang menghalang usaha pembanterasan secara menyeluruh,” jelasnya.
Beliau mendedahkan bahawa bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Jun 2026, Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak berjaya merampas sebanyak 5,672.5 mililiter cecair vape yang dianggarkan bernilai RM1.02 juta.
“Hasil analisis Jabatan Kimia Malaysia mendapati sebahagian besar cecair vape berkenaan mengandungi etomidate serta MDMB, yang masing-masing disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 7,561 tangkapan berkaitan kes narkotik direkodkan di Sarawak melibatkan 362 pengedar dadah, 1,420 pemilik dadah serta 5,779 penagih dan pengguna dadah,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan di Sarawak masih terkawal berdasarkan indeks jenayah dadah yang rendah berbanding beberapa negeri lain.
“Sarawak mempunyai kelebihan dalam aspek pencegahan dan pendidikan kesedaran, khususnya melalui program turun padang, libat urus serta sesi dialog awam.
“Kita perlu sentiasa memberi kesedaran kepada belia tentang bahaya dadah supaya mereka tidak terjebak,” katanya.


