KUCHING: Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) mempunyai saluran pelaporan terus kepada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) bagi memastikan penemuan berkaitan ketidakpatuhan dapat ditangani, sekali gus memperkukuh fungsi semak dan imbang dalam jabatan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, CeIO memainkan peranan penting dalam memastikan proses kerja dalam sesebuah organisasi dilaksanakan mengikut tatakelola yang ditetapkan.
Katanya, fungsi semak dan imbang yang dilaksanakan CeIO turut membolehkan sebarang perkara berkaitan ketidakpatuhan dikenal pasti, diperbetulkan dan dielakkan daripada berlaku dalam mana-mana organisasi.
“Sebab itu, saya telah mengarahkan CeIO mesti melaporkan kepada UNIONS, bukan kepada ketua jabatan. Kita menetapkan perkara ini dan saya telah mengedarkan arahan bahawa CeIO dalam sesebuah jabatan bertanggungjawab kepada pihak UNIONS dan bukannya kepada ketua jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, perkara itu penting bagi memastikan apa sahaja pandangan dan penemuan yang diperoleh dapat dilaporkan kepada UNIONS untuk membolehkan tindakan susulan diambil.
“Pada masa yang sama, kita mahu memastikan nilai-nilai dan budaya integriti dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ketua jabatan juga perlu mewujudkan sistem semak dan imbang melalui pemantauan berkala, semakan pematuhan dan pemeriksaan mengejut (spot checks) khususnya dalam bidang yang mempunyai tahap risiko tinggi,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu, Sarawak sedang melalui fasa pembangunan yang pesat dalam pelbagai sektor strategik, termasuk tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, pengangkutan dan infrastruktur.
Malah, menurutnya, tahun ini merupakan lima tahun terakhir untuk negeri ini mencapai segala aspirasi yang telah direncanakan di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) untuk diterjemahkan kepada rakyat.
“Justeru, dalam konteks ini, peranan Perkhidmatan Awam Sarawak bukan sekadar mengurus dan mentadbir kerajaan malah berperanan sebagai pemudah cara, pemacu dan gatekeeper dalam memastikan setiap perancangan pembangunan strategik negeri ini dilaksanakan dengan cekap, telus dan berkesan.
“Ini termasuk memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sedang berlangsung sekarang seperti pembinaan jalan raya dan jambatan, penyediaan bekalan air, elektrik, jambatan dan sebagainya dapat dilaksanakan mengikut jadual spesifikasi yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Hadir sama, Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid DiRaja Datuk Dr Juanda Jaya; Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim; serta wakil yang lain.



