DALAT: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat merupakan antara institusi latihan yang menawarkan kursus penjagaan warga emas sebagai persediaan menghadapi peningkatan populasi golongan tersebut di Sarawak pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kursus tersebut diperkenalkan bagi melahirkan tenaga kerja profesional yang berkemahiran dalam aspek penjagaan dan kebajikan warga emas.

“Kursus berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan penjagaan fizikal warga emas, malah turut merangkumi aspek psikologi, hak-hak warga emas serta pemahaman berkaitan perundangan yang berkaitan.
“Apabila Sarawak menjadi negeri yang mempunyai lebih ramai warga emas pada masa akan datang, keperluan perkhidmatan penjagaan warga emas akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Jawatankuasa Pendidikan ADUN Dalat, di Pusat Khidmat DUN Dalat, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga ADUN Dalat menegaskan agar peluang tersebut wajar dimanfaatkan oleh golongan muda khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih mencari hala tuju pendidikan dan kerjaya.

“Anak-anak di Dalat perlu mengambil peluang ini kerana kebolehpasaran graduan selepas tamat latihan di CENTEXS adalah sangat tinggi.
“Kita juga melihat kursus-kursus yang ditawarkan di CENTEXS Dalat mendapat sambutan menggalakkan daripada pemohon luar daerah sehingga kemudahan penginapan sedia ada tidak mencukupi,” jelasnya.
Menyentuh bantuan pendidikan yang disampaikan, ia melibatkan seramai 99 penerima dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM50,600.
Ujarnya, bantuan itu adalah untuk membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum melanjutkan pengajian.
“Kita berharap bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban keluarga dan memberi manfaat kepada para pelajar.
“Apabila berjaya kelak, saya berharap anak-anak ini akan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” tambahnya.


