LAWAS: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji inisiatif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas yang menjadi institusi pertama di negeri ini menggunakan plastik kitar semula bagi membina jalan raya.
Beliau berkata teknologi berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan lambakan sisa plastik malah berupaya menyelesaikan masalah jalan pedalaman di negeri ini.
“Kita mempunyai banyak jalan yang sering rosak terutamanya di kawasan balak seperti yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian.
“Jadi kita mesti mempunyai teknologi untuk memanfaatkan plastik yang dikumpul bagi membina jalan raya.
“Melalui kaedah ini, plastik dihancurkan sehingga menjadi bahan mentah sebelum dicampur dengan bitumen dan minyak tar… inilah kaedahnya untuk membina jalan raya,” katanya ketika menyempurnakan perasmian jalan raya asfalt hijau pertama dan perasmian CENTEXS Lawas di sini, hari ini.
Projek perintis sepanjang 100 meter itu dibangunkan dengan kerjasama Janatek Resources dan Renergy Bumi Hijau Sdn Bhd menggunakan hampir 400 kilogram sisa plastik yang dikumpul dari seluruh negara.
Abang Johari berkata pendekatan berasaskan ekonomi kitaran seperti ini mampu memberi nilai tambah bukan sahaja dalam sektor pembinaan malah pertanian, tenaga dan makanan.
Projek Asfalt Hijau ini dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan, daripada idea hinggalah ke pelaksanaannya.
Ia juga menjadi sebahagian daripada pelaksanaan dasar Pengurusan Sisa Plastik dan Ekonomi Pekeliling Sarawak yang menekankan kitar semula, pengurangan sisa dan pelanjutan kitaran hayat bahan ke arah matlamat Sisa Sifar.
Selain lebih tahan lama, teknologi jalan berasaskan plastik kitar semula ini turut menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang serta memberi manfaat berganda dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn serta Pengarah CENTEXS dan CENTEXS Commercial Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.


