KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menceroboh rumah lalu mencabul seorang wanita berusia 31 tahun, 30 Oktober lalu.
Tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, kerana menceroboh masuk rumah mangsa.
Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan mangsa dengan menyentuh bahagian buntut.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukannya di sebuah rumah di RPR Batu Kawa, sekitar 2.19 petang, 30 Oktober lepas.
Nuriena menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua dia dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan satu sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa hari ini.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan pada hari kejadian dia masuk ke rumah pengadu tanpa kebenaran.
Pada ketika itu, pengadu sedang tidur dalam keadaan meniarap, tertuduh yang masuk ke dalam bilik pengadu lalu mencucuk-cucuk jarinya ke arah buntut pengadu.
Pengadu yang tersedar daripada tidur melihat seorang lelaki tidak dikenali berbaring di sebelahnya sambil memegang tangan kirinya.
Dia lalu menjerit meminta pertolongan adik perempuannya sebelum tertuduh cuba melarikan diri menggunakan pintu dapur, tetapi pintu tersebut berkunci.
Kemudian, tertuduh berjaya melarikan diri dari pintu hadapan.
Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





