KUCHING: Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Nuruljumaniza Tuah menegaskan, sebahagian besar atlet yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 masih boleh beraksi di temasya serupa dua tahun akan datang.
Berbanding hanya empat daripada pemain sedia ada yang tiada lagi dalam senarai ekoran lebih umur.
“Sebahagian besar atlet sedia ada masih boleh beraksi di SUKMA 2028 yang akan berlangsung di Kelantan.
“Ia kredit untuk SALBA bagi membentuk skuad yang lebih mantap kelak,” ujar Nuruljumaniza kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Nuruljumaniza, ketiadaan beberapa pemain yang melangkaui umur berkenaan tidak menimbulkan masalah bagi pihaknya merangka dengan lebih awal membentuk pasukan.
Ia katanya, mengambil kira masih ada masa untuk pihaknya mencari pemain baharu yang boleh diketengahkan ke pentas kompetitif itu.
Untuk rekod pasukan boling padang gagal menghadiahkan sebarang pingat pada SUKMA Selangor 2026.
Dalam perkembangan berbeza, Nuruljumaniza akui pihaknya belum dapat memberi gambaran untuk melaksana program atau aktiviti pada tahun depan.
Ini kerana gelanggang boling padang sedia ada ketika ini dalam proses dinaik taraf bagi persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2027.
“Aktiviti kita hanya akan dapat dilaksanakan selepas berakhir temasya berprestij itu,” katanya.





