SADONG JAYA: Penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Novis Terbuka Piala P.200 Batang Sadong 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 November ini di gelanggang Serbaguna Kampung Sungai Bilis amat bermakna sekali.
Langkah tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pemain terlibat mengetengah bakat mereka.
Pada masa sama berupaya melahirkan lebih ramai pemain untuk sukan tradisional itu khususnya bagi kawasan Parlimen Batang Sadong.
Rentetan dari itu, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee menyambut baik usaha tersebut.
“Saya menyambut baik dengan penganjuran kejohanan ini kerana ia bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pemain menonjol bakat mereka.
“Pada masa sama berupaya menjadi landasan melahirkan lebih ramai bakat baharu,” ujar Rodiyah.
Beliau menegaskan, kejohanan kali ini mempertandingkan beberapa kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Veteran Terbuka.
Rodiyah akui, kawasan Parlimen Batang Sadong amnya dan Sadong Jaya khususnya mempunyai ramai pemain berbakat dan kelebihan yang dimiliki ini perlu diasah melalui latihan dan memberi pendedahan kepada mereka dengan menyertai pertandingan untuk membina keyakinan diri serta mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
“Saya difahamkan skuad wanita dari Kelab Sepak Takraw Sadong Jaya (SJTC) telah terpilih menyertai Sukan Sarawak (SUKSAR) pada awal tahun ini dan berjaya meraih tempat ketiga dalam kejohanan peringkat Sarawak anjuran Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) di bawah Program Pembangunan Sepak Takraw Negara.
“Walaupun masih baharu dalam sukan ini, pencapaian diperoleh mereka menunjukkan potensi besar bakat anak tempatan yang boleh dikembangkan melalui peluang dan bimbingan berterusan,” tambah Rodiyah.
Sambil mengakui, penganjuran kejohanan sepak takraw novis ini penting untuk mengenal pasti bakat baharu dalam kawasan terbabit.
Mengulas pelibatan pemain veteran pula, ia juga secara tidak langsung membuka ruang kepada pemain muda untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada pemain berpengalaman selain pentas untuk meningkatkan prestasi serta kemahiran diri.
Justeru, beliau berharap usaha memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw yang menjurus kepada bakat seperti ini dapat diteruskan secara konsisten.
Kejohanan terbabit menyediakan hadiah lumayan kepada kelompok tiga terbaik bagi kesemua tiga kategori dipertandingkan itu.
Kategori Terbuka Lelaki, juara akan menerima wang tunai RM1,500, piala dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Sementara itu, bagi kategori Terbuka Wanita dan Veteran Terbuka, pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat.
Naib juara pula menerima wang tunai RM600, piala dan pingat.
Bagi dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM300, piala dan pingat.




