KUCHING: Selepas tujuh tahun sejak jaringan terkenalnya di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2019, Safawi Rasid kembali mencuri tumpuan apabila meledak dua gol untuk membantu Kuching City FC menewaskan kelab Korea Selatan, Gangwon FC 2-0, malam tadi.
Pemain sayap kebangsaan itu muncul wira kemenangan pertama skuad The Cats dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) selepas menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-12 dan ke-19 di Stadium Taha Ariffin.
Safawi berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya kerjasama seluruh pasukan dan barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang mengharungi kempen sulung di pentas Asia.

“Kemenangan ini adalah untuk Kuching City dan semua penyokong kami.
Apa-apa pun, kami perlu terus melangkah dan memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Mengulas kejayaan menjaringkan dua gol, Safawi mengakui pencapaian itu memberikan kepuasan peribadi, selain menjadi suntikan semangat kepada dirinya dan rakan sepasukan.
“Sudah tentu sebagai pemain, sesiapa sahaja yang menjaringkan gol pasti gembira.
Dua gol ini memberikan semula semangat kepada diri saya dan pasukan untuk terus berusaha menghadapi perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Untuk rekod, Safawi pernah mencipta sensasi menerusi jaringan menentang Shandong Luneng ketika mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan ACL pada 2019, yang kemudiannya dipilih sebagai Gol Terbaik Dekad ACL menerusi undian peminat.
Dalam perkembangan berkaitan, Safawi turut meluahkan kegembiraan selepas kembali mendapat panggilan menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi tugasan antarabangsa bulan ini.
Kemenangan ke atas Gangwon menyaksikan Kuching City mengumpul empat mata selepas empat perlawanan, sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati dengan baki dua aksi peringkat kumpulan.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak seterusnya dijadual menentang Phnom Penh Crown pada 26 November sebelum bertandang ke gelanggang Kitchee SC di Hong Kong pada 3 Disember ini.





