KUCHING: Pelakon Korea Selatan, Cha Ji-hyuk yang dikenali menerusi siri Netflix Bloodhounds 2, akan membintangi filem Korea bertajuk Distinct: Becoming Sarawak yang akan menjalani penggambaran sepenuhnya di Sarawak bermula 15 Jun ini.
Cha Ji-hyuk akan bergandingan bersama pelakon tempatan Siti Nur Aishah Bee Md Nor dan Shelyn Poh sebagai teraju utama, sekali gus menggabungkan bakat dari Malaysia dan Korea Selatan.
Filem berkenaan merupakan kerjasama antara syarikat Korea, Monster Factory Co. Ltd. dengan syarikat Malaysia, The Black Label Sdn Bhd, yang menampilkan gabungan tenaga produksi, pelakon dan pembikin filem dari kedua-dua negara.
Menurut kenyataan, filem berkenaan mengangkat genre komedi romantik Korea dengan tema cinta, penyembuhan, identiti dan hubungan kemanusiaan, berlatarbelakangkan kehidupan moden, kepelbagaian budaya serta keindahan landskap Sarawak.
“Filem ini turut mencerminkan semangat Sarawak sebagai sebuah negeri yang meraikan kepelbagaian budaya, agama dan latar belakang masyarakat,” kata kenyataan itu.
Produksi tersebut diarahkan oleh Shin Ji-hwan dengan skrip oleh Park Ho-young, manakala barisan tenaga kreatif termasuk Pengarah Fotografi Park Sang-hoon, Pengarah Pencahayaan Kim Hee-soo, Pengarah Bunyi Kim Hae-sung dan Pengarah Muzik Jeon Jong-hyeok.
Projek itu diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif The Black Label Sdn Bhd, Lee Sang Chan yang juga bertindak sebagai penerbit.
Sejak 1 Jun, pasukan produksi dari Korea berada di Kuching bagi menjalankan persiapan praproduksi serta memperkukuh kerjasama industri kreatif di antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Haesurim Co. Ltd. menyertai projek berkenaan sebagai pelabur utama dari Korea dengan menyediakan sokongan kepada produksi.
Dalam pada itu, pasukan produksi tempatan diketuai Azri Ali, Qawiem Hamizan dan Hanis Ali daripada Semarak Kreatif Sdn Bhd yang bertindak sebagai rakan sokongan produksi di Sarawak.
Terdahulu, sesi uji bakat awam diadakan di Kuala Lumpur dan Kuching bagi memilih bakat tempatan, manakala jurulatih lakonan Yeum Dong-jin kini kembali ke Sarawak untuk melatih pelakon melalui bengkel dan sesi pembangunan watak.
Pengumuman lanjut barisan pelakon dan perkembangan produksi dijangka dibuat dalam tempoh terdekat.


