ARTIKEL

Mustapha bersama tetamu yang hadir merakamkan kenangan dalam Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak, hari ini.

ChatGPT Ganti Ibu Bapa? Krisis Nilai Kekeluargaan Pelajar Semakin Membimbangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kebergantungan pelajar terhadap kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan apabila mereka lebih memilih ChatGPT berbanding ibu bapa, sekali gus menghakis nilai kekeluargaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, fenomena itu mencerminkan realiti baharu dalam interaksi pelajar yang lebih cenderung untuk berkomunikasi dengan teknologi berbanding insan terdekat.

Mustapha meninjau pameran yang terdapat dalam Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera.

“Saya sedikit terkejut apabila seorang mahasiswa berkongsi bahawa dia lebih selesa berinteraksi dengan ChatGPT berbanding ibu bapanya yang sibuk kerana dapat memperoleh maklumat dan penyelesaian dengan cepat serta mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Wanita Pesona Elegan, Jiwa Sejahtera di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak, hari ini.

Menurutnya, ibu bapa khususnya golongan muda perlu lebih peka terhadap kesan penggunaan gajet dan AI dalam kalangan anak-anak yang sejak kecil telah didedahkan dengan peranti seperti telefon pintar dan tablet.

“Ini kaedah paling mudah untuk mengurus mereka, tetapi kita kena sedar kesan jangka panjangnya kerana mendidik anak merupakan tanggungjawab dan amanah yang tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi.

“Teknologi boleh dikuasai seiring dengan peredaran zaman namun apabila mereka membesar dengan gajet dan dunia maya, kita sebagai ibu bapa akan kehilangan peranan,” tegasnya.

Mustapha turut menjelaskan bahawa semua pihak perlu bergerak secara kolektif untuk mendidik ibu bapa agar lebih aktif dalam membentuk sahsiah anak-anak sejak awal usia.

“Contohnya, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga penting dalam menyampaikan mesej kepada ibu bapa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mustapha turut menyeru agar pihak penganjur program di institusi pengajian tinggi (IPT) melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam proses penganjuran aktiviti.

“Saya mencadangkan setiap program di politeknik, kolej komuniti dan universiti melibatkan pimpinan mahasiswa kerana ia merupakan sebahagian daripada proses melatih mereka untuk mengurus dan melaksanakan program, selain membentuk keyakinan diri.

“Pengalaman melaksanakan program akan memberi nilai tambah kepada pelajar selepas tamat pengajian,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU