ARTIKEL

Tan Cheong Min | BERNAMA

Cheong Min mampu lompat lebih tinggi untuk lakar sejarah tersendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HANGZHOU: Atlet wushu wanita negara, Tan Cheong Min kini berupaya melompat lebih tinggi dalam usahanya merealisasikan impian meraih pingat sulung Sukan Asia Hangzhou 2022 bagi acara nanquan+nandao di sini esok.

Juara dunia 2019 dalam acara nandao itu berkata peningkatan itu mungkin disebabkan faktor penurunan berat badan selepas menjalani latihan intensif di Tianjin, China selama sebulan menjelang temasya sukan berkenaan.

Namun, apa yang mencuit hati pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu adalah apabila beliau hanya menyedari kehilangan berat badan setibanya di Hangzhou minggu lepas.

“Semasa berlatih di Tianjin kami (kem wushu) tiada penimbang berat jadi kami tak tahu berat naik atau turun. Bila tiba di sini baru semua tahu berat masing-masing menurun.

“Saya juga perasan prestasi saya semakin baik dan boleh melompat lebih tinggi sebab berat sudah berkurang dan mungkin jisim otot meningkat,” kata atlet berusia 25 tahun itu sambil tersenyum ketika ditemui di sini.

Mengulas mengenai harapan untuk menaiki podium pada penampilan keduanya di Sukan Asia, Cheong Min yang memiliki perwatakan peramah berkata beliau berpeluang membawa pulang pingat jika berjaya menampilkan persembahan sempurna.

Malah, kejayaan menggondol dua emas di Sukan SEA Kemboja yang juga penampilan sulungnya di temasya sukan dwitahunan itu, turut memberi keyakinan untuk meneruskan rentak kecemerlangan di Hangzhou.

“Sukan SEA beri saya peluang meraih pengalaman baharu dan platform yang menguatkan mental saya. Selepas Sukan SEA saya rasa (kekuatan) mental lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Cheong Min berkata beliau bakal mengenakan pakaian berwarna kuning ketika turun beraksi Pusat Sukan Xiaoshan Guali di sini, esok.

“Untuk saya yang mempunyai tubuh agak kecil, saya akan pilih pakaian berwarna terang seperti kuning,” katanya.

Sebagai rekod, pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Cheong Min menamatkan final acara nanquan+nandao di tempat keempat di belakang atlet China, Uzbekistan dan Hong Kong. – BERNAMA

BERITA LAIN

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha