KOTA SAMARAHAN: Bahang cuaca dan sambutan hangat pengunjung di Karnival Jom Heboh terasa sama panasnya dengan tarikan Chikuro serta Bakso Bakar, antara makanan tular yang membuka selera.
Di sebalik kemeriahan konsert, pertandingan, aktiviti riadah, sesi bertemu artis serta reruai pameran, kepelbagaian makanan turut menjadi antara tarikan utama karnival berkenaan.
Sebanyak 44 gerai makanan dan minuman disediakan dengan pilihan yang menghimpunkan cita rasa tempatan Sarawak, hidangan dari Semenanjung serta sajian moden berkonsepkan fusion.
Aroma makanan yang digoreng, dibakar dan disaluti pelbagai jenis sos memenuhi ruang karnival, sekali gus membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang mencuba juadah yang jarang ditemui di tempat lain.

Antara yang menyerlah ialah Chikuro serta Bakso Bakar hasil air tangan peniaga dari Sibu, Narfisyah Hussen, 45.
Dengan rupa seakan-akan sosej bersalut tepung atau ‘corndog’ dan inti sos yang meleleh di bahagian tengah, Chikuro mudah menarik perhatian pengunjung yang melalui gerainya.
Beliau berkongsi bahawa nama Chikuro yang kedengaran comel itu merupakan singkatan daripada perkataan ‘chicken roll’ yang bermaksud gulungan ayam.
“Bagaimanapun, berbeza dengan ‘corndog’ yang menggunakan salutan tepung, Chikuro dihasilkan daripada isi ayam atau daging sepenuhnya sebelum disalut dengan serbuk roti dan digoreng sehingga rangup.
“Bahagian dalamnya pula diisi dengan pilihan sos barbeku, bawang putih dan keju bagi memberikan rasa berlemak serta menyelerakan pada setiap gigitan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut Narfisyah, Bakso Bakar pula menawarkan rasa berasap hasil proses memanggang, disertai sos Thailand buatan sendiri yang menggabungkan rasa pedas, manis dan sedikit masam.

Mengulas lanjut, beliau membawa kedua-dua makanan itu untuk diperkenalkan kepada pengunjung Karnival Jom Heboh di Kota Samarahan.
“Sempena Karnival Jom Heboh, saya membawa Chikuro dan Bakso Bakar kerana kedua-duanya merupakan makanan yang tidak begitu mudah ditemui di pesta lain.
“Bakso biasanya dimakan bersama sup, tetapi saya menghasilkan kelainan dengan memanggang bebola daging buatan sendiri dan menyapunya dengan sos Thailand buatan sendiri.
“Rasanya pedas, manis dan sedikit masam, manakala aroma daripada proses memanggang menjadikannya lebih menyelerakan,” tambahnya.
Jelasnya, idea untuk menghasilkan Bakso Bakar tercetus daripada kreativitinya sendiri bagi memberi nafas baharu kepada hidangan bakso yang lazimnya disajikan bersama kuah.
Bagi Chikuro pula, Narfisyah mendapat inspirasi selepas melihat makanan itu menjadi fenomena tular di Indonesia menerusi media sosial.
“Saya kemudiannya mempelajari kaedah penyediaannya secara dalam talian sebelum melakukan beberapa pengubahsuaian mengikut cita rasa masyarakat tempatan,” katanya.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Chikuro serta Bakso Bakar menerima sambutan positif dalam kalangan pelanggan.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan tertarik kerana kedua-dua makanan itu menawarkan rasa dan penampilan yang berbeza daripada sajian biasa.
“Alhamdulillah, penerimaan orang ramai sangat baik dan ramai yang menyukainya.
“Sebelum ini, ketika menyertai sebuah acara di Padawan, sambutannya juga menggalakkan kerana pelanggan menyukai isi ayam atau daging yang penuh serta harganya yang berpatutan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Narfisyah tidak keberatan menyertai Karnival Jom Heboh demi memperluaskan pengenalan terhadap dua produk jualannya.
“Saya sering menyertai acara dan pesta di beberapa lokasi bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan mencuba Chikuro serta Bakso Bakar,” ujarnya.

Beliau menambah, Chikuro ayam dijual pada harga RM16, manakala pilihan daging pula berharga RM18.
Manakala Bakso Bakar pula dijual pada harga RM6 bagi sebatang yang mengandungi tiga bebola daging, RM12 bagi dua batang dan RM18 bagi tiga batang.
Di tengah-tengah bahang cuaca, asap dari pemanggang dan aroma sos yang menyelerakan, jualan makanan tular itu ternyata berbaloi apabila gerainya terus dikunjungi pelanggan.
Bagi Narfisyah, setiap batang Bakso Bakar dan Chikuro yang terjual membawa bersama keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu serta memperkenalkannya kepada masyarakat Sarawak.

