PERTANDINGAN peragaan lelaki menggabungkan tradisi dan karisma menjadi satu persembahan yang penuh keyakinan.
Justeru, anak muda dari Sarawak, Chris Foo tampil mencuri perhatian sebagai pendatang baharu dalam arena ini untuk menawan pentas antarabangsa melalui Manhunt Malaysia 2024.
Baginya, tahun ini bukan sekadar langkah pertama di pentas peragaan lelaki bertaraf dunia, tetapi juga untuk meraih gelaran Gentlemen of Malaysia.
Lahir dan dibesarkan di Kuching, Chris yang bekerja sebagai ejen hartanah tidak pernah menyangka berada di pentas yang begitu gah ini. Minatnya dalam dunia peragaan lelaki tercetus secara tidak sengaja.


Chris mengenang perjalanan yang dilalui, memperkenalkan dirinya kepada dunia sambil memecahkan norma dalam pertandingan lelaki.
Pada 16 September lalu di Geo Resort and Hotels, Genting Highlands, Chris mewakili Sarawak dalam pertandingan Manhunt Malaysia 2024 dan bersaing dengan 13 fi nalis hebat dari seluruh negara.
Beliau turut membawa pulang gelaran Mr. Personality — mengiktiraf daya tarikannya yang tersendiri.
Bagi Chris, misinya jelas untuk memberi inspirasi kepada anak Sarawak yang lain supaya berani mengejar impian mereka dalam dunia peragaan lelaki.
“Saya berharap kejayaan ini membuka mata lebih ramai anak muda dari negeri ini untuk mencuba perkara baharu dan tidak takut untuk mengikut minat mereka,” ujar Chris dengan penuh semangat.
Manhunt International, yang diasaskan pada 1993, merupakan pertandingan peragaan lelaki pertama dan paling lama di dunia.
Chris kini bersiap sedia untuk melangkah lebih jauh dengan mewakili Malaysia dalam pertandingan Gentlemen of the World yang berlangsung di Indonesia pada Disember ini.
Dengan semangat dan tekad yang kuat, beliau berhasrat membawa pulang kejayaan buat Malaysia sambil mengharumkan nama Sarawak di persada dunia.


