KANGAR: Cicak tokay hitam (Gekko cf. dam) setakat ini hanya direkodkan di Perlis sebagai satu-satunya lokasi di Malaysia, berdasarkan dapatan awal Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Papan dan sebahagian Hutan Simpan Kurong Batang (Selatan).
Ketua Penyelidik Dr Razak Terhem berkata spesies itu bukan endemik Perlis kerana turut mempunyai taburan di luar Malaysia termasuk Thailand. Data turut menunjukkan Perlis dipercayai menjadi kawasan taburan paling selatan spesies berkenaan.
Ekspedisi itu turut menemukan satu spesies orkid yang berpotensi baharu dan sedang melalui proses dokumentasi serta pengesahan pakar. Empat spesies halia juga direkodkan, termasuk satu yang ditemukan semula dalam keadaan berbunga selepas kali terakhir direkodkan pada 2001.
Ekspedisi bermula 16 Ogos itu melibatkan 105 penyelidik daripada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan NGO dalam serta luar negara.
Sebanyak 16 spesies mamalia, 60 burung, 70 kupu-kupu dan 25 herpetofauna direkodkan selain pelbagai spesies flora.
Bagi kulat, lebih 120 penemuan direkodkan dengan kira-kira 33 daripadanya merupakan rekod baharu di Perlis.
Jumlah itu masih perlu dimurnikan bagi memastikan tiada pertindihan spesies, manakala penemuan keseluruhan mengukuhkan kepentingan Perlis sebagai kawasan biodiversiti unik.

