KUCHING: Gabungan daging kambing premium Australia dan rempah-ratus Sarawak menjadi tumpuan pada pameran kulinari di Restoran The Roots, sekali gus menonjolkan potensi cita rasa tempatan yang dipadukan dengan bahan premium antarabangsa.
Sesuai dengan pengiktirafan bandar ini sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO pertama di Malaysia, pameran eksklusif itu turut menggunakan pelbagai bahagian premium daging kambing Australia serta menggabungkan bahan-bahan asli ikonik dan gaya masakan tradisional Sarawak.

Kolaborasi tersebut juga memacu inovasi gastronomi dengan mempertemukan keharuman rempah-ratus Malaysia Timur dan kelembutan daging kambing Australia daripada The Midfield Group, menghasilkan sajian seimbang yang memikat selera.
The Midfield Group merupakan syarikat agribisnes terkemuka Australia yang dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Australia. Syarikat ini berbangga dengan produk berkualiti tinggi yang diiktiraf di pasaran domestik dan antarabangsa, dengan semua kemudahan pemprosesannya mendapat akreditasi halal di bawah Program Penyembelihan Muslim yang dikawal ketat.

Sementara itu, Wakil Negara Malaysia dan Pengurus Pembangunan Perdagangan Singapura, Rose Yong, berkata daging lembu dan kambing Australia unik kerana diternak secara lestari di padang terbuka tanpa bahan tambahan atau penggalak pertumbuhan, menjadikannya produk semula jadi dan selamat.
“Daging Australia yang dieksport ke Malaysia ini juga mempunyai pensijilan halal, selain lembut, berjus, dan kaya dengan nutrisi, menjadikannya sesuai untuk pelbagai gaya masakan,” katanya pada acara Teroka Kambing Australia dengan Cita Rasa Sarawak di Restoran The Roots, hari ini.
Acara berkenaan turut disokong oleh Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (Austrade), dengan kerjasama Supreme Cold Storage Sdn Bhd (SCS) dan Daging dan Ternakan Australia (MLA).




