Covid-19: 156 kes positif di Sarawak hari ini

KUCHING: Sarawak merekodkan 156 kes positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 2,367 kes.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sibu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 65 diikuti Miri (28), Kanowit (24), Beluru (15), Sarikei (10), Sebauh (3), Kuching (2), Bintulu (2), Subis (2), Dalat (1), Belaga (1), Meradong (1), Samarahan (1) dan Daro (1).
“Bagi Sibu, 33 kes melibatkan Kluster Pasai, 26 kes lain-lain saringan dan enam kes saringan petugas kesihatan.
“Manakala 10 kes di Miri melibatkan individu yang disaring kerana mempunyai kontak kepada kes positif, enam kes melibatkan Kluster Rakut, lima kes masing-masing Kluster Jelita dan Kluster Pasai dan satu kes masing-masing melibatkan Kluster Bah Sayap dan saringan individu datang dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Tambah Uggah, bagi daerah Kanowit pula, 23 kes melibatkan Kluster Pasai dan satu kes melibatkan saringan individu yang pulang dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19.
Menurutnya, bagi daerah Beluru dan Sarikei, kes untuk kedua-dua daerah ini melibatkan kes Kluster Pasai.
“Manakala di Sebauh pula, dua kes melibatkan Kluster Bukit Sekubong dan satu kes dikesan melalui saringan komuniti.
“Untuk dua kes di Kuching, satu kes melibatkan Kluster Keranji Tabuan dan satu kes melibatkan individu yang disaring kerana mempunyai tanda dan gejala jangkitan.
Menurut Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, daripada dua kes dari daerah Bintulu, satu kes adalah saringan individu yang balik dari kawasan berisiko dan satu kes saringan individu bergejala.
“Bagi daerah Subis, Dalat dan Belaga dan Daro, masing-masing mencatatkan kes yang melibatkan Kluster Pasai.
“Manakala satu kes di Meradong melibatkan saringan individu bergejala dan satu kes di Samarahan adalah individu yang disaring kerana mempunyai tanda dan gejala jangkitan.