Covid-19: Beluru, Miri bertukar merah

KUCHING: Daerah Beluru di Miri bertukar status daripada jingga kepada merah setelah merekodkan 74 kes baharu hari ini, menjadikan sejumlah 96 kes jangkitan tempatan dikesan dalam tempoh 14 hari yang lalu.

Manakala, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Daerah Matu, Sri Aman dan Selangau bertukar status daripada kuning kepada status jingga setelah masing-masing merekodkan sejumlah 25, 28 dan 23 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri, Sibu dan Kuching kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,882 kes jangkitan tempatan dilaporkan di lapan buah daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Selain itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata Daerah Bau, Lundu, Subis dan Betong juga kekal berstatus jingga dengan 111 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Manakala Daerah Sarikei, Daro, Sebauh, Lawas, Telang Usan, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga, Meradong, Julau, Simunjan, Lubok Antu, Sarikei, Limbang, dan Samarahan kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 125 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas

Beliau menambah sembilan daerah lain di Sarawak kekal berstatus hijau.

Sementara, Uggah berkata terdapat 12 kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bintang Daily, Meradong; Kluster Jalan Pengiran, Matu; Kluster Tabong, Bau; Kluster Indah Riang, Kluster Stutong dan Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bedayan, Serian; Kluster Rakut, Kluster Bah Sayap dan Kluster Jelita, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh serta Kluster Pasai, Sibu.