Covid-19: Dua kematian, 270 kes positif baharu di Sarawak

KUCHING: Kematian akibat Covid-19 terus meningkat di Sarawak, apabila dua lagi kematian baharu direkodkan hari ini iaitu di Sibu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 44 kes.

Menurutnya, kes kematian ke-43 merupakan kes ke-3,441 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 60 tahun yang telah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas.

“Kes telah menjalani saringan kontak kepada kluster dengan ujian saringan rT-PCR sebanyak dua kali pada bulan Januari, dan ujian saringan rT-PCR kali kedua pada 24 Januari lalu telah didapati positif Covid-19.

“Keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari ini (4 Febuari).

“Kes mempunyai komorbid penyakit darah tinggi, gout dan seborrhoiec dermatitis,” katanya dalam sidang media perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Manakala, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata kes kematian ke-44 merupakan kes ke-3,192 yang juga melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang berumur 79 tahun.

Katanya kes ini telah dimasukkan ke Hospital Sibu apabila ujian saringan rT-PCR Covid-19 yang dilaksanakan adalah didapati positif pada 23 Januari lalu.

“Kes ini mempunyai gejala demam pada hari saringan ujian dijalankan, keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia hari ini (4 Februari).

“Selain itu, kes juga mempunyai komorbid kanser nasopharyngeal sejak 20 tahun lepas dengan metastasis ke bahagian otak dan juga memerlukan bantuan oksigen terapi di rumah sejak hujung bulan Januari 2021,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 270 kes positif Covid-19 yang dikesan di Sarawak hari ini iaitu Sibu (79), Beluru (74), Bintulu (23), Miri (17), Sri Aman (15), Matu (12), Selangau (10), Julau (enam), Kanowit (lima), Lundu (lima), Bau (empat), Kapit (empat), Dalat (tiga), Meradong (tiga), Kuching (dua), Sarikei (dua), Song (dua), Tatau (dua), Sebauh (satu ) dan Lawas (satu).

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 5,094 kes,” katanya.