Covid-19: Dua kluster tamat, dua kluster baharu muncul

KUCHING: Terdapat dua kluster baharu Covid-19 di kesan di Sarawak hari ini, melibatkan daerah Sibu iaitu Kluster Kiba dan Kluster Jalan Awang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan hari ini berkata, Kluster Kiba merupakan kluster komuniti yang melibatkan sebuah rumah panjang di Ulu Durin Kiba di Sibu.

Katanya, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-9,790 iaitu seorang wanita warga tempatan (Sarawak) berumur 53 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 27 Februari 2021.

“Kes ini mula menunjukkan tanda dan gejala pada 24 Februari 2021, hasil siasatan lanjut dan aktiviti pengesanan kes dalam kalangan kontak-kontak rapat kepada kes ini, tambahan 32 kes telah dikesan melibatkan kluster tersebut.

“Sejumlah 92 individu telah disaring, 33 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, keputusan menunjukkan 56 kes negatif manakala tiga kes masih menunggu keputusan,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak hari ini.

Menurut JPBNS, Kluster Jalan Awang, Sibu merupakan kluster yang berlaku dalam kalangan penghuni orang tahanan dalam penjara di Penjara Sibu yang terletak di Jalan Awang.

Malah katanya, kluster ini dikesan melalui pengesanan kes secara aktif (ACD) dalam kalangan tahanan yang telah dijalankan 4 Mac 2021 oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu.

“Seramai 43 individu telah disaring melibatkan 42 kes positif yang telah dikesan (41 orang tahanan lelaki dan seorang tahanan perempuan) termasuk kes indeks.

“Manakala, satu kes negatif dan tiada kes masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan dua kluster tamat hari ini iaitu Kluster Jelita, Miri dan Kluster Indah Riang, Kuching setelah tiada kes baharu dilaporkan atau dikesan dalam tempoh 14 hari dari tarikh terakhir kes dikesan.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan bahawa terdapat 26 kluster yang masih aktif dan lapan kluster mempunyai penambahan kes manakala 18 kluster tiada penambahan kes.

Suara Sarawak