Covid-19: Enam kes positif baharu hari ini

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan enam kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah sebanyak 414 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada enam kes tersebut, empat kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes dirawat di Hospital Bintulu.

Pada masa sama, beliau berkata empat kes positif sembuh hari ini dan telah discaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan adalah 68 kes.

“Kesemua empat kes positif telah sembuh tersebut adalah dari HUS,” katanya pada sidang media Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata sebanyak 105 kes baharu Individu Dalam Siasatan (PUI)
dilaporkan dan 126 kes masih menunggu keputusan makmal.

Manakala, beliau berkata seramai 1,493 orang telah dikuarantin di 16 buah hotel di seluruh negeri setakat hari ini.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 186 telah lengkap menjalani tempoh kuarantin dan telah dibenarkan pulang ke rumah.

“Pada hari ini seramai tujuh orang lagi individu di bawah pemantauan (PUS) baharu telah mendaftar masuk di hotel.

“Daripada jumlah tersebut, lima orang daripadanya ditempatkan di Wasan Inn, Bintulu dan dua orang di Hotel Purnama, Limbang,” katanya.