COVID-19: Kes baharu melonjak kembali

KUALA LUMPUR: Sehari selepas jumlah kes baharu positif COVID-19 mencatat satu angka, jumlah hari ini kembali melonjak kepada dua angka melibatkan 39 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 sebanyak 8,943 kes dan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 212 kes.

“Daripada 39 kes baharu dilaporkan, 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara dan tujuh bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media berhubung perkembangan COVID-19, hari ini.

Beliau menjelaskan 11 kes import itu dari Arab Saudi (satu kes di Sabah); Ireland (satu kes di Kuala Lumpur); Korea Selatan (dua kes: satu kes di Sarawak, satu kes di Kuala Lumpur); India (satu kes di Kedah); Rusia (satu kes di Kuala Lumpur); Amerika Syarikat (satu kes di Kuala Lumpur); Amerika Selatan (satu kes di Sarawak); United Kingdom (dua kes di Sarawak); dan Filipina (satu kes di Labuan).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada 28 kes penularan tempatan, 22 kes melibatkan warganegara dan enam kes dalam kalangan bukan warganegara.

Beliau berkata sebanyak 19 kes dicatat di Sarawak iaitu daripada Kluster Sentosa (tujuh kes); Kluster Kejuruteraan Kuching (empat kes); Kluster Satok (empat kes); Kluster Mambong (satu kes); Kluster PUI Melbourne (satu kes); satu kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang serta satu kes saringan kendiri.

Dr Noor Hisham berkata kedua-dua kes saringan pemantauan dan saringan kendiri tidak bergejala serta telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Sementara itu, Sabah mencatat dua kes saringan pesakit berisiko tinggi iaitu satu kes di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta satu kes di Hospital Lahad Datu, manakala Kedah merekodkan satu kes daripada Kluster PUI Sivagangga.

“Bagi kes jangkitan dalam negara (enam kes) dalam kalangan bukan warganegara pula, dua kes daripada Kluster Sentosa di Sarawak dan empat kes daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat enam kes pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,607 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hanya satu kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 sehingga ini kekal 124 kes, katanya.

— BERNAMA

Suara Sarawak