Covid-19: Sarawak hari ini merekodkan 185 kes baharu

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 185 kes baharu jangkitan Covid-19 dan sifar kematian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini menjadikan keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 5,457 kes.

“Daripada jumlah tersebut, daerah Sibu terus melaporkan kes tertinggi dengan 101 kes diikuti Lundu (19), Song (18), Dalat (12), Subis (7), Kanowit (6), Bintulu (4), Kapit (4), Bau (3), Kuching (2), Saratok (2), Miri (1), Julau (1), Meradong (1), Belaga (1), Matu (1), Kabong (1) dan Lawas (1),” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Tambah beliau, pada hari ini, terdapat 157 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Sibu (72), Hospital Miri (60), Hospital Bintulu (12), Hospital Umum Sarawak (10) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Kapit (3).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 3,602 orang atau 66.01 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai kluster yang masih aktif di Sarawak, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata hari ini, terdapat 14 kluster yang masih aktif.

Kluster tersebut adalah Kluster Sebangkoi, Sri Aman; Kluster Jun Heng, Bintulu; Kluster Bintang Daily, Meradong; Kluster Jalan Pengiran, Matu; Kluster Tabong, Bau; Kluster Indah Riang, Kuching; Kluster Bedayan, Serian; Kluster Rakut, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri ; kluster Pasai, Sibu ; Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bah Sayap, Miri dan Kluster Stutong, Kuching.

Dalam perkembangan yang sama, Uggah mendedahkan bahawa seramai 270 PUI baharu telah dilaporkan dan 23 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.