Cuaca lembab di Sarawak dijangka berterusan hingga Februari ini

KUCHING: Keadaan cuaca lembab di Sarawak dijangka akan berterusan hingga Februari ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ibrahim Man berkata, hujan sederhana lebat dijangka berlaku pada 14 dan 15 Februari.
“Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut menjangkakan keadaan hujan lebat di Sarawak berkemungkinan akan berlaku pada 18 dan 19 Februari.
“Bagaimanapun, ia masih dalam pemerhatian dan MetMalaysia akan mengeluarkan amaran yang bersesuaian apabila perlu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai sentiasa peka terhadap setiap maklumat yang dikeluarkan dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/ dan memuat turun aplikasi MyPublicInfoBanjir bagi mendapatkan maklumat semasa hujan dan paras air sungai utama di seluruh Malaysia.
“Selain itu, penduduk di kwasan berisiko banjir dinasihatkan untuk memastikan sistem pengairan dan saliran air di sekitar kawasan perumahan setempat sentiasa bersih dan tidak menghalang laluan air,” jelas beliau.
Beliau memberitahu, maklumat mengenai ramalan cuaca dan amaran banjir akan dikemaskini di platform media sosial Facebook seperti @malaysiamet, @publicinfobanjir atau Twitter @metmalaysia dan @JPS_InfoBanjir.

Suara Sarawak