KUCHING: Cubaan dua nelayan Indonesia sengaja membocorkan bot bagi mengelakkan ditahan ketika berada di perairan negeri ini malam Khamis lalu, berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, bot nelayan bersama dua kru termasuk tekong itu ditahan pada kedudukan 105 batu nautika utara Tanjung Po sekitar jam 10.55 malam.
“Bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan di Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) semasa Op Khas Raja Laut 2.0; Op Khas Naga Timur dan Op Tiris 3.0 di perairan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zin Azman, bot berkenaan dikendalikan dua kru warga Indonesia termasuk tekong berumur 33 dan 45 tahun serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pasukan geledah kata beliau, berdepan kesukaran semasa melaksanakan tangkapan berikutan bot mengalami kebocoran serius dipercayai sengaja dilakukan oleh kru bot bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
“Namun begitu, pasukan geledah berjaya menahan tekong dan kru berkenaan meskipun bot telah tenggelam semasa dalam perjalanan menuju ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS).
“Kedua-dua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran,” ujarnya
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak enam juta ringgit dan kru boleh didenda RM500 ribu serta penjara enam bulan hingga satu tahun.
Pada masa sama kata Zin Azman, Maritim Sarawak akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai juga diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku jenayah di perairan negara ke Pusat Operasi Maritim Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999.




