ARTIKEL

Van dan minyak diesel yang dirampas pasukan penguat kuasa Pejabat KPDN Cawangan Bintulu, baru- baru ini.

Cubaan Seleweng 350 Liter Diesel Bersubsidi Tumpas di Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU : Cubaan menyeleweng 350 liter minyak diesel bersubsidi berjaya digagalkan selepas sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Bintulu menyerbu sebuah kenderaan persendirian yang disyaki digunakan untuk kegiatan berkenaan dalam satu operasi di sini baru-baru ini.

Pejabat KPDN Cawangan Bintulu dalam satu kenyataan memaklumkan pemeriksaan ke atas kenderaan yang mencurigakan itu menemukan sebuah tangki plastik jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang dipercayai diubah suai bagi tujuan penyimpanan dan pemindahan bahan api.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangki berkenaan mengandungi kira-kira 350 liter minyak diesel dengan nilai rampasan barang kawalan dianggarkan sebanyak RM752.50.

“Susulan penemuan tersebut, tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 21 akta yang sama terhadap pemilik kenderaan terbabit.

“Kenderaan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan lanjut, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk barangan lain dianggarkan sebanyak RM5,952.50,”katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan penyimpanan dan pemilikan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya sambil menambah syarikat yang disabitkan atas kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.

Dalam pada itu, Pejabat KPDN Cawangan Bintulu menegaskan komitmennya untuk terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan di stesen minyak serta lokasi berisiko tinggi bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan bahan api bersubsidi.

“KPDN ingin mengingatkan bahawa penjualan atau pengisian bahan api ke dalam bekas selain tangki asal kenderaan melebihi 20 liter tanpa permit yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan demi memastikan subsidi kerajaan dinikmati oleh golongan yang layak,” menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp KPDN di 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan kementerian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU