KUCHING: Cubaan menyembunyikan diesel bersubsidi menggunakan tangki industri terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak menahan sebuah lori dalam satu operasi pemantauan di sebuah stesen minyak, Isnin lalu.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, kejadian kira-kira 2.30 petang itu bermula apabila anggota penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan statik di lokasi berisiko tinggi mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan membawa kepada penemuan dua tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang disorok secara kemas.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 650 liter diesel dianggarkan bernilai RM1,397.50 disimpan dalam tangki berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Matthew, nilai keseluruhan rampasan, termasuk lori dan peralatan lain dianggarkan mencecah RM23,797.50 dengan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an juga ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati diesel tersebut dipercayai diperoleh daripada sumber tidak sah, sekali gus menimbulkan syak berlakunya aktiviti penyelewengan barang kawalan yang dijalankan secara terancang.
Ujarnya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 menerusi Ops 555, iaitu kesalahan memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta.
“Kami akan terus memperhebat operasi di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ bagi membanteras ketirisan subsidi diesel.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan barang kawalan kerana perbuatan itu memberi kesan langsung kepada ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak KPDN melalui pelbagai saluran rasmi, termasuk WhatsApp, e-mel, talian pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU.




