KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kerajaan Negeri di seluruh Malaysia untuk mencontohi Sarawak dalam menyediakan bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam negeri.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, selain Sarawak, Sabah dan Selangor turut mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri masing-masing.
“Justeru kita berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas pemberian elaun khas kepada anggota perkhidmatan awam Sarawak sebagai tambahan kepada penyelarasan gaji dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Pengumuman ini sudah pasti dapat meningkatkan motivasi penjawat awam dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.
“Ia juga selaras dengan komitmen CUEPACS dalam memperjuangkan kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi kunjungan hormat dan lawatan CUEPACS kepada Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Helmy Hamid, di ibu pejabat JAPEN, hari ini.
Adnan menjelaskan, tujuan sesi lawatan CUEPACS itu adalah untuk melihat pelaksanaan skim SSPA serta memberi penjelasan yang lengkap kepada penjawat awam di Sarawak.
Menurutnya, CUEPACS menerima maklumat seramai 700 anggota perkhidmatan awam tidak menandatangani opsyen atau menolak skim SSPA.
“Mungkin mereka tidak menerima maklumat yang betul atau mendapat maklumat yang salah melalui media sosial.
“Justeru, CUEPACS telah turun ke lapangan bersama-sama dengan jabatan dan kementerian, di samping mendapat maklum balas tentang pelaksanaan dan penambahbaikan untuk fasa kedua,” ujarnya.


