ARTIKEL

Tertuduh (tengah) dibawa keluar oleh anggota polis bersama-sama pesalah kes lain.

Curi kabel SDEC, lelaki didenda RM6,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencuri kabel kuasa milik Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), September lalu.

Tertuduh, 29, mengaku bersalah selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

Mengikut pertuduhan, Denny bersama-sama rakannya mencuri kabel berkenaan di sebuah stesen komunikasi SDEC di Kampung Nyabut, Jalan Telaga Air, kira-kira 3.52 pagi, 16 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan fakta kes, SDEC menerima panggilan daripada individu yang memaklumkan melihat dua lelaki memasuki kawasan stesen komunikasi berkenaan pada hari kejadian.

Setibanya di lokasi, kakitangan SDEC mendapati dua kesan pencerobohan pada pagar stesen di bahagian hadapan dan belakang.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiga potong kabel kuasa DC RRU (Remote Radio Unit) untuk peralatan komunikasi tanpa wayar serta Saluran fleksibel GI (besi tergalvani) masing-masing sepanjang 10 meter telah dipotong dan dicuri.

Keseluruhan kabel dicuri sepanjang 30 meter.

Susulan kejadian, laporan polis dibuat dan hasil siasatan membawa kepada penahanan tertuduh pada 3 Oktober lalu, kira-kira 10.15 malam di tepi jalan berhampiran simpang Kampung Sungai Belian, Lundu.

Ketika ditahan, tertuduh cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditangkap.

Siasatan lanjut polis mendapati dia bersama-sama rakannya mencuri kabel kuasa DC RRU dari stesen komunikasi SDEC berkenaan, selain perbuatan mereka turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, rakan tertuduh, 24, dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, pada 2 Oktober lalu atas pertuduhan di bawah seksyen yang sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU