MIRI: Universiti Curtin Malaysia (Curtin Malaysia) telah mengadakan Program Kesedaran Mikroplastik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram baru-baru ini.
Program itu diketuai oleh saintis alam sekitar dan Profesor Madya Kejuruteraan Awam dan Pembinaan, Tony Hadibarata, sebagai lanjutan daripada projek penyelidikan Curtin Malaysia bertajuk ‘Monitoring the Occurrence of Microplastic Contamination in Commercial Fish and Its Public Health Knowledge and Perception’.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Pengetahuan (KTP) untuk meningkatkan kesedaran tentang mikroplastik dalam ikan komersial serta kesannya terhadap kesihatan awam.
Menurut Tony Hadibarata, pelbagai program diadakan sempena program tersebut untuk membuka mata tentang bagaimana mikroplastik mempengaruhi ekosistem marin dan rantaian makanan.
“Mikroplastik merupakan salah satu ancaman tersembunyi yang mengancam kesihatan dan ekosistem kita.
“Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa, dengan mendidik generasi muda, ia menjadi kunci utama untuk menangani krisis ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Guru Besar SK Kuala Baram, Nancy Opi, pula berkata bahawa program yang diadakan itu merupakan pengalaman yang membuka minda bagi pelajar dan kakitangan sekolah tersebut.
Jelasnya, pendekatan secara amali menjadikan proses pembelajaran menyeronokkan dan berkesan, dan mereka gembira melihat pelajar membangunkan minat yang mendalam terhadap perlindungan alam sekitar.
Sementara itu, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri memuji pendekatan inovatif program tersebut dan menyuarakan harapan agar ia diperluaskan ke sekolah lain di bahagian ini, terutamanya di kawasan pedalaman.

