BAU: Daerah ini memerlukan sebuah lagi klinik kesihatan bagi menampung keperluan masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta menyuraikan kesesakan di Hospital Bau.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, daerah ini merupakan salah satu daripada 16 daerah di Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai klinik dan bergantung kepada jabatan pesakit luar.
Justeru beliau berkata, berdasarkan perancangan Jabatan Kesihatan Negeri, Daerah Bau memerlukan klinik kesihatan jenis tiga.
“Walaupun demikian, kita akan melihat keadaan tanah dan lokasi yang dibincangkan dan alternatif yang boleh dipakai untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
“Jangka masa panjang memang kita akan menyenaraikan klinik kesihatan jenis tiga untuk Bau, namun bukan terus diletakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tetapi dalam RMK akan datang,” katanya ketika ditemui media, selepas menyempurnakan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) di Dewan Suarah Bau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) yang juga Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep, Adun Serumbu Miro Simuh, Adun Opar Billy Sujang, Residen Kuching Fathi Hambali, Pegawai Daerah Bau Constantine Gerald David Jonas dan wakil Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Azlee Ayub.
Bagi mengatasi kesesakkan pesakit di Hospital Bau, Lukanisman berkata, KKM dicadangkan untuk memindahkan sementara Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Hospital Bau di bangunan Pejabat Daerah Bau.
Beliau memberitahu, ia berikutan Pejabat Daerah Bau kini sedang dalam proses pemindahan ke bangunan baharu.
“Datuk Henry (Adun Tasik Biru) mencadang kita mengeluarkan klinik supaya dapat beroperasi di tempat baharu maka hospital sesak dapat dikurangkan.
“Di Bau ini bukan seperti sesak seperti di hospital bandar tapi perkhidmatan menunggu tersebut tidak selesa,” katanya.