KUCHING: Dakwaan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap ancaman buaya di kawasan berisiko adalah tidak tepat, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
Beliau berkata, pelbagai langkah proaktif telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemantauan berterusan, pemindahan reptilia berkenaan serta operasi pengurangan populasi di lokasi tertentu bagi menjamin keselamatan orang ramai.
“Sehingga kini, lebih 70 permit telah dikeluarkan bagi tujuan pengurusan dan kawalan buaya di Sarawak, sekali gus membuktikan tindakan berterusan pihak berkuasa dalam menangani isu ini.
“Setiap tindakan diambil berdasarkan penilaian risiko dan keperluan semasa di lapangan, termasuk di kawasan penempatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Shell LiveWire Sarawak 2026 di Kampung Digital TEGAS di sini, hari ini.
Mengulas video tular yang memaparkan kelibat seekor buaya di kawasan Tebingan Kuching baru-baru ini, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SFC berkata agensi tersebut telah mengambil tindakan segera memandangkan kawasan berkenaan diwartakan sebagai zon bebas buaya.
“Kita juga telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi tujuan penempatan semula buaya yang ditangkap, termasuk di Kuching Wetlands yang akan dibangunkan sebagai kawasan perlindungan khas seluas kira-kira 100 ekar.
“Buaya yang ditangkap di kawasan penempatan akan dipindahkan ke kawasan perlindungan yang telah dikenal pasti dan dikawal sepenuhnya,” ujarnya.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata lokasi lain yang turut dikenal pasti ialah di Pulau Seduku atau Batang Lupar serta Taman Negara Rajang bagi wilayah tengah, manakala bagi wilayah utara melibatkan kawasan Sibuti, Lawas dan Limbang.
Menurutnya, bagaimanapun tindakan tersebut tidak dihebahkan secara meluas kerana perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat serta pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan pencinta hidupan liar.
“Jika terdapat laporan mengenai kehadiran buaya di kawasan penempatan seperti kampung atau rumah panjang, tindakan sewajarnya akan diambil sama ada melalui pemindahan atau operasi pengurangan populasi mengikut keperluan.
“Apa yang lebih penting ialah keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan dan masyarakat perlu peka terhadap amaran serta risiko yang wujud di kawasan tertentu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata SFC turut melaksanakan usaha kesedaran awam secara berterusan.
“Usaha ini dilakukan melalui pemasangan papan tanda amaran dan penggunaan aplikasi Sarawak CrocWatch yang membolehkan orang ramai melaporkan penampakan buaya dengan segera.
“Yang penting ialah keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan dan setiap laporan akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.


