KUALA LUMPUR: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menafikan dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata memasuki Semporna dan Lahad Datu, Sabah seperti yang tular di media sosial.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata keadaan keselamatan di kedua-dua kawasan berkenaan terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan dakwaan itu.
Beliau berkata ESSCOM mengambil maklum mengenai gambar yang dimuat naik di media sosial dan mengesahkan hantaran berkenaan tidak benar.
Katanya, pemantauan serta kawalan keselamatan terus dijalankan terutama di perairan dan lokasi strategik dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bagi mengesan sebarang ancaman atau aktiviti mencurigakan.
Victor turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ancaman keselamatan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pengesahan lanjut seperti dilapor Bernama.

