KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melihat potensi kawasan Damai, Santubong untuk dibangunkan sebagai lokasi baharu bagi aktiviti sukan dan rekreasi, termasuk sukan berbasikal yang semakin mendapat perhatian antarabangsa.
Menurut Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, kawasan berkenaan berpotensi bagi aktiviti sukan dan rekreasi berasaskan alam semula jadi selain daripada Bukit Siol.
“Dalam masa sama, DBKU akan memperkenalkan larian denai pertama di Santubong pada tahun ini sebagai usaha mempelbagaikan aktiviti sukan lasak.
“Diharap penganjuran ini dapat berkembang menjadi acara bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, pengiktirafan sebagai Taman Delta Geo UNESCO terhadap kawasan sekitar Kuching bukan sahaja mengangkat nilai strategik , malah turut membuka lebih banyak peluang untuk pembangunan sektor sukan dan pelancongan di negeri ini.
Sementara mengulas mengenai penganjuran SIMBC, beliau berkata, acara tersebut telah mendapat pengiktirafan rasmi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa dan merupakan sebahagian daripada Siri Benua Asia UCI 2026 yang berprestij.
“Kuching diberi kepercayaan sebagai tuan rumah pusingan akhir siri tersebut, sekali gus menjadikan Cabaran Basikal Gunung Antarabangsa Siol 2026 (SIMBC) sebagai acara berprestij di peringkat Asia,” katanya.
Beliau menambah, sebagai pusingan penutup siri berkenaan, Kuching akan memainkan peranan penting dalam menentukan lima pelumba terbaik yang akan melayakkan diri ke UCI Mountain Bike World Cup 2027, sekali gus mengangkat lagi kepentingan kejohanan itu di peringkat antarabangsa.
“Penganjuran ini turut menghimpunkan pelumba elit dari seluruh rantau yang akan bersaing dalam beberapa disiplin utama termasuk Cross-Country Olimpik (XCO), Cross-Country Trek Pendek (XCC), Cross-Country Eliminator (XCE), Downhill (DHI) serta Lari Berganti-ganti Cross-Country (Trofi Datuk Bandar).
“SIMBC 2026 bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan, malah turut memberi kesan kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat dan penglibatan komuniti,” tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Cabaran Basikal Gunung Antarabangsa Siol 2026 (SIMBC) merupakan sebahagian daripada Siri Benua Asia UCI 2026 yang merangkumi lima perlumbaan di rantau ini, iaitu Thailand Mountain Bike Cup di Kanchanaburi, Thailand pada 14 Januari lalu; Coupe du Japon MTB Yawatahama International MTB Race + Siri Junior UCI XCO di Yawatahama City, Ehime, Jepun pada 23 hingga 24 Mei ini; Asia Mountain Bike Series di Alegria, Filipina pada 6 Jun ini; Asia Mountain Bike Series Guiyang-Zhunzi + Siri Junior UCI XCO di Guiyang, China pada 24 hingga 26 Julai ini; serta Siol International Mountain Bike Challenge 2026 di Bukit Siol yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos ini.


