BAU: Kerajaan Persekutuan perlu mengekalkan atau meningkatkan dana pembangunan untuk Sabah dan Sarawak bagi memastikan keperluan infrastruktur asas, termasuk kemudahan keselamatan yang telah berusia, dapat diberi keutamaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata masih banyak kemudahan asas di kedua-dua negeri berkenaan memerlukan perhatian dan penambahbaikan.
Katanya, peruntukan pembangunan yang mencukupi penting bagi membolehkan kerajaan menangani keperluan infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar dan sempadan.
“Seperti biasa, saya fikir di Borneo ini, kedua-dua negeri ini memang masih memerlukan dana pembangunan yang adil.
“Kalau kita lihat tahun lepas, kedua-dua negeri ini mendapat dana pembangunan yang agak tinggi; jadi, saya berharap mewakili suara rakyat Borneo, kita memohon supaya dana pembangunan ini dikekalkan atau dinaikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Serikin, di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau telah mengadakan lawatan ke tapak Pos Kawalan Sempadan Telok Melano serta meninjau Balai Polis Telok Melano.
Menurut Mustapha, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah keadaan infrastruktur pasukan keselamatan yang masih menggunakan bangunan lama.
Beliau berkata, perkara itu jelas dilihatnya semasa lawatan ke Sematan apabila mendapati pondok polis di situ masih berstrukturkan kayu.
“Saya terkejut apabila melawat di Sematan, masih ada pejabat atau pondok polis yang diperbuat daripada kayu dan berusia 69 tahun; sama usia dengan Hari Kebangsaan, bayangkan sudah 69 tahun,” katanya.
Katanya, keadaan berkenaan menunjukkan masih terdapat keperluan besar untuk menaik taraf infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak.
“Maknanya, banyak lagi isu infrastruktur asas di kedua-dua negeri ini perlu dipertimbangkan dan diberi keutamaan, terutama dari segi dana pembangunan,” katanya.


