ARTIKEL

Abdul Karim melihat keringkam yang dihasilkan menerusi program ASPIRE.

Dana Pemudah Cara bantu usahawan muda Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dana Industri Belia Kreatif Sarawak dirancang untuk diperluaskan kepada penggiat industri kraf, sekali gus meningkatkan kemahiran dan daya saing anak tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah ini bagi memastikan mereka yang memiliki kemahiran dan potensi dalam industri kreatif dapat mengetengahkan bakat dengan sokongan kewangan serta bimbingan yang betul.

Abdul Karim melancarkan Buku Kursus Keringkam Sarawak di Kuching, hari ini.

“Sekarang, dana ini lebih banyak memberi tumpuan kepada mereka yang terlibat dalam bidang muzik, teater, pembikinan video, permainan video dan lain-lain di bawah skop kreatif serta inovatif.

“Justeru, saya berhasrat untuk meluaskan jangkauan dana ini supaya dapat menyokong mereka yang terlibat dalam industri kraf, sekali gus mengembangkan usaha ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada Majlis Graduasi Program ASPIRE (2023–2025) dan Pelancaran Buku Kursus Keringkam Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan juga mempunyai pelbagai peruntukan dan program latihan untuk membantu usahawan muda mengasah kemahiran dengan menawarkan bimbingan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

“Salah satu daripadanya ialah Dana Pemudah Cara yang memberi peluang kepada individu untuk membuka bengkel atau memulakan perniagaan tanpa perlu membayar kembali peruntukan tersebut.

“Kami faham bahawa ada sesetengah individu yang ingin menjadi bos kepada diri mereka sendiri. Untuk itu, kami menyediakan dana ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan usaha dan impian tanpa beban kewangan yang berat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai golongan muda berani menceburi industri kreatif dan kraf bagi meneruskan legasi seni dan budaya Sarawak supaya dapat bersaing di peringkat global.

Sementara itu, mengulas mengenai program ASPIRE yang dibiayai oleh Yayasan Hasanah dan dikendalikan oleh Muzium Brooke, beliau berkata ia bertepatan pada masanya dalam mengasah bakat golongan muda tahanan pusat juvana menguasai seni sulaman keringkam Sarawak.

“Oleh itu, saya menyeru kepada para penerima sijil kemahiran ini untuk mengambil peluang yang ada dalam meningkatkan taraf hidup dengan menjadi usahawan atau penggiat seni,” tegasnya.

Program yang dilancarkan pada Jun 2023 bertujuan memelihara warisan seni keringkam itu melibatkan seramai 50 remaja dari Sekolah Henry Gurney, Taman Seri Puteri dan Sekolah Tunas Bakti Kuching untuk latihan selama 24 bulan.

Majlis tersebut menyaksikan seramai 34 remaja menerima sijil kemahiran mereka dengan 26 daripadanya dari Sekolah Henry Gurney, enam dari Taman Seri Puteri dan dua dari Sekolah Tunas Bakti Kuching.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU