ARTIKEL

Dapur rumah di awan biru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo.

Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak yang ditemu bual oleh wartawan kami, selain membaca perkongsian rakanrakan yang memberikan pujian terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan ini.

Saya mengikuti cerita mereka dari jauh tetapi semalam saya berpeluang merasai sendiri pengalaman itu.

Mungkin saya agak lewat berkongsi cerita berbanding mereka yang menaiki penerbangan ini pada peringkat awal pelancarannya.

Namun bagi saya, pengalaman baharu atau lama tidak pernah hilang nilai untuk diceritakan.

Ada kalanya, sesuatu yang kita alami sendiri memberikan makna yang berbeza daripada apa-apa yang kita baca atau dengar daripada orang lain.

Ketika melangkah masuk ke dalam pesawat, saya disambut dengan senyuman manis anak kapal.

Sambutan itu mungkin perkara biasa dalam industri penerbangan tetapi senyuman dari bibir Borneo lebih memberikan rasa selesa.

Dan, perjalanan yang baik tidak semestinya bermula apabila pesawat berlepas.

Kadangkala, ia bermula sebaik sahaja kita melangkah masuk dan merasakan diri dialu-alukan.

Sebelum menaikinya, saya sudah berasa satu perkara yang paling dekat dengan hati saya sebagai rakyat Sarawak iaitu makanan yang dihidangkan di atas awan. Saya dihidangkan laksa Sarawak goreng dengan lima udang bersaiz kecil yang sudah dikupas kulitnya, gulungan telur dadar dan isi ayam yang dipotong nipis.

Menu ini biasa kita lihat setiap hari di kedai kopi di Kuching tetapi menariknya semalam saya makannya bukan di kedai tetapi di atas awan.

Suapan pertama disusuli suapan kedua, membawa bersama rasa yang cukup akrab.

Harumannya mengingatkan saya kepada makanan yang biasa kita nikmati di kedai kopi dan restoran di Sarawak.

Seolaholah kita sedang menikmati hidangan dari dapur sendiri, meskipun ketika itu berada ribuan kaki di udara.

Di situlah terletaknya keistimewaan makanan.

Ia bukan sekadar untuk mengisi perut tetapi mampu membawa pulang kenangan, identiti dan rasa kebersamaan.

Di dalam pesawat, penumpang turut mempunyai pilihan hidangan tengah hari termasuk nasi goreng corned beef, selain sepotong kek, sebungkus kecil kacang dan pelbagai pilihan jus.

Turut disediakan air jenama Orkid keluaran Sarawak Water. Ketika menikmati hidangan itu, saya boleh anggap ia perkara kecil yang memberikan makna besar.

Kita bukan sahaja terbang dari satu destinasi ke destinasi lain tetapi turut membawa bersama hasil, jenama dan cita rasa dari tanah sendiri.

Saya bangga menjadi rakyat Sarawak yang menakluk langit dengan makanan dan minuman dari rumah sendiri.

Rasa bangga itu bukan bermaksud kita menolak apa-apa yang datang dari luar. Sebaliknya, ia membuktikan Sarawak sentiasa mempunyai sesuatu yang boleh diketengahkan dan dinikmati oleh orang lain.

Jika selama ini kita bangga dengan kekayaan alam, kepelbagaian budaya dan keramahan masyarakat, mengapa tidak kita turut berbangga apabila identiti tempatan dibawa bersama dalam perjalanan udara?

Penerbangan bukan hanya tentang pesawat, tempat duduk, jadual perjalanan atau masa ketibaan.

Ia juga tentang pengalaman yang ditinggalkan kepada penumpang. ‘

Dan pengalaman itu boleh hadir melalui perkara yang paling kecil iaitu layanan mesra, makanan yang dekat dengan jiwa dan produk tempatan yang diberi ruang untuk menyerlah.

Ada satu lagi perkara yang menarik perhatian saya.

Pengumuman anak kapal yang kedengaran berbeza daripada pengumuman penerbangan yang biasa kita dengar.

Saya tidak sempat merakam kata-katanya tetapi inti pati yang masih saya ingat berkisar tentang penerbangan sebagai permulaan sebuah pengembaraan, diikuti kata-kata syukur dan terima kasih kepada penumpang kerana memilih AirBorneo.

Saya tidak dapat memastikan ungkapan tepat yang digunakan tetapi mesejnya meninggalkan kesan tersendiri.

Ia seakanakan mengingatkan kita yang perjalanan bukan sekadar urusan untuk sampai ke destinasi.

Setiap perjalanan mempunyai cerita, pengalaman dan kenangan yang bakal dibawa pulang.

Bukankah itu benar?

Ada orang menaiki pesawat untuk bertemu keluarga.

Ada yang berangkat kerana tuntutan kerja.

Ada yang membawa harapan untuk memulakan kehidupan baharu, manakala sebahagian yang lain sekadar mahu berehat dan menikmati masa bersama-sama orang tersayang.

Apa-apa pun tujuan kita, setiap perjalanan bermula dengan satu langkah dan harapan untuk tiba dengan selamat.

Sebab itu, apabila sebuah syarikat penerbangan membawa nama dan identiti negeri sendiri, harapan yang disandarkan kepadanya juga berbeza.

Kita mahu melihatnya berkembang, memberikan perkhidmatan yang baik dan menjadi kebanggaan rakyat.

Pada masa yang sama, kita berharap setiap pengalaman penumpang terus diperkemas, kerana kepercayaan dibina bukan melalui nama sematamata tetapi melalui mutu perkhidmatan yang dirasai sendiri.

Saya pulang daripada pengalaman itu dengan satu kesimpulan mudah.

Kadangkala rasa bangga terhadap tanah air tidak memerlukan kata-kata yang besar.

Ia hadir ketika kita menikmati makanan yang mengingatkan kita kepada rumah, melihat produk tempatan diberi tempat dan merasakan keramahan yang membuatkan perjalanan lebih bermakna.

Terbang dari Kuching ke Kuala Lumpur membawa lebih daripada sekadar perjalanan antara dua negeri.

Bersama hidangan di atas dulang dan sebotol air keluaran Sarawak, saya merasakan sebahagian dari Bumi Kenyalang turut terbang bersama.

Terima kasih AirBorneo atas pengalaman itu.

Semoga setiap penerbangan menjadi permulaan pengembaraan yang baik, membawa penumpang ke destinasi dengan selamat dan terus menyemarakkan kebanggaan terhadap Sarawak.

Kerana akhirnya, sejauh mana pun kita terbang, ada sesuatu dari rumah yang sentiasa mahu kita bawa bersama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU