BETONG: Kerajaan Sarawak bercadang meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah di negeri ini daripada RM2,131 kepada RM4,000.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan sedang membuat persiapan rapi terutama dalam sektor pertanian bagi mencapai hasrat berkenaan.
“Saya percaya ini dapat dicapai, kerana kita mempunyai tanah, petani dan penternak yang bekerja keras,” katanya ketika mengumumkan Stesen Pertanian Spaoh bernilai RM4.5 juta di Spaoh di sini, semalam.
Katanya, peruntukan itu disalurkan kerajaan menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred) dengan Jabatan Pertanian bagi membantu bahan penanaman lebih berteknologi moden.
Uggah yang juga Menteri Manred mendedahkan, ia bakal mewujudkan lebih banyak taman pertanian untuk disewakan kepada petani yang tidak memiliki tanah.
“Ini akan mewujudkan lebih banyak Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) untuk membantu dalam pembelian, pemprosesan dan pemasaran produk pertanian.
“Kami kini telah membina 10 stesen pertanian baharu di seluruh negeri. Ia akan menjadi tempat bagi petani untuk mencari bimbingan dan bantuan serta teknologi baharu.
“Kami akan memiliki unit rumah hijau di dalamnya untuk menunjukkan kaedah moden seperti fertigasi dan hidroponik,” jelasnya.
Uggah menambah, cawangan Pertubuhan Peladang yang ada di seluruh negeri juga akan membantu membeli hasil pertanian.
“Kementerian saya, telah memperuntukan sejumlah RM1.5 juta kepada Pertubuhan Peladang Negeri untuk membeli semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran daripada petani dalam tempoh PKP.
Ini telah banyak membantu mereka selama ini,” katanya lagi.
Uggah memberitahu kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM265 juta di bawah Tabung Pemudahcaraan Pertanian (AFF) sebagai bantuan tambahan kepada petani dan penternak.
“Melalui dana ini, kami membantu petani dan penternak dengan baja, bahan penanaman, kemudahan dan teknologi.
“Kami juga menggunakan dana untuk membantu nelayan dan setakat ini sebanyak RM68 juta yang dibelanjakan,” katanya.
Katanya, bagi petani dan penternak yang lebih mapan, kerajaan telah mewujudkan Venture Capital dengan dana pusingan sebanyak RM200 juta.
“Oleh itu, kami sangat serius dalam membantu rakyat kami meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka,” tegasya.
Dalam perkembangan lain, beliau juga menempelak mereka yang telah meremehkan keputusan kerajaan untuk membangunkan lapangan terbang bernilai RM108 juta di Bebuling di Spaoh.
“Ini bukan projek glamor atau mewah tetapi ini bagi memudah, memperluas dan memperkukuhkan pertumbuhan serta pengembangan pertanian berorientasikan pasaran.
“Spaoh adalah sebahagian dari kawasan bakul makanan Betong atau Sarikei – yang banyak aktiviti dan program masih dirancang serta disempurnakan.
“Kami memerlukan pengangkutan yang lebih pantas untuk membawa pelbagai produk terus dari ladang ke pasaran domestik dan asing,” ujarnya lagi.


