ARTIKEL

PENIAGA menjual gambar Joseph Vijay semasa pengiraan undi untuk Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu, di ibu pejabat parti di Chennai pada 4 Mei 2026. | AFP

Dari layar perak ke politik

CONNIE PEARL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JIKA Bollywood terkenal dengan Shah Rukh Khan, Tamilwood pula cukup sinonim dengan nama Chandrasekaran Joseph Vijay yang menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu baru-baru ini.

Sejak kecil, saya sering menonton filem lakonan Vijay setiap kali berkunjung ke rumah nenek kerana beliau memang peminat setia pelakon tersebut. 

Pada waktu tersebut, Vijay boleh dikatakan satu-satunya pelakon Tamil yang saya kenali.

Dan ketika era tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya TV2 sering menyiarkan filem-filem Tamil yang secara tidak langsung memperkenalkan ramai penonton Malaysia kepada pelakon tersebut.

Bagi peminat lama, era 1990-an dan awal 2000-an merupakan zaman kebangkitan Vijay. Setiap hujung minggu, filem Tamil menjadi antara hiburan popular di kaca televisyen.

Filem seperti Ghilli, Pokkiri, Thirumalai, Friends dan Thuppakki antara karya yang melonjakkan populariti pelakon tersebut.

Bagi saya, Vijay juga memiliki aura ‘mass hero.’ Beliau bukan hanya bergantung kepada aksi semata-mata, tetapi berjaya menggabungkan elemen komedi, emosi, tarian dan mesej sosial dalam hampir setiap filem lakonannya.

Malah sehingga hari ini, gaya dan ‘trademark’ beliau seperti tepukan dua kali di lengan sebelum memasukkan gula-gula ke dalam mulut masih menjadi ikutan peminat di media sosial.

Dilahirkan pada 22 Jun 1974 di Chennai, India, Vijay berasal daripada keluarga seni. Bapanya, S. A. Chandrasekhar merupakan pengarah filem terkenal manakala ibunya, Shoba Chandrasekhar, merupakan penyanyi dan penulis.

Figura tersebut mula berlakon sejak kecil sebelum benar-benar mencipta nama sebagai hero utama pada era 1990-an.

Tetapi sebelum itu, difahamkan pelakon ini pernah dikritik kerana dianggap tidak memiliki penampilan hero tipikal seperti pelakon Tamil lain ketika itu.

Bagaimanapun, Vijay akhirnya membuktikan bahawa kerja keras, disiplin dan hubungan kuat dengan peminat lebih penting daripada persepsi awal industri. Sedikit demi sedikit, beliau membina empayarnya sendiri sehingga setiap filem mula mencatat kutipan luar biasa.

Antara rekod terbesar beliau ialah menerusi Leo yang mencatat kutipan sekitar RM250 juta di seluruh dunia, sekali gus menjadi antara filem Tamil dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.

Selain itu, The Greatest of All Time, Varisu, Bigil dan Mersal turut mencipta kejayaan besar di kutipan pecah panggung antarabangsa.

Di samping itu, selain terkenal di India Selatan, Vijay juga mempunyai pengaruh besar di negara seperti Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan beberapa negara Timur Tengah yang mempunyai komuniti Tamil yang kuat.

Setiap kali filem baharu beliau ditayangkan, pawagam dipenuhi peminat yang bersorak seolah-olah sedang menyaksikan perlawanan bola sepak. Kelab peminat beliau juga terkenal aktif melakukan kerja kebajikan dan aktiviti sosial sejak bertahun-tahun lalu.

Sesungguhnya dunia politik Tamil Nadu sememangnya mempunyai hubungan yang cukup unik dengan industri perfileman. Sebelum Vijay, dua figura besar dunia hiburan iaitu M. G. Ramachandran (MGR) dan J. Jayalalithaa pernah berjaya menjadi ketua menteri selepas mencipta populariti besar dalam dunia filem.

Seperti yang pernah dilaporkan media antarabangsa termasuk BBC, ramai pemerhati melihat Vijay sebagai waris moden kepada MGR kerana kedua-duanya mempunyai imej hero rakyat biasa yang membantu golongan tertindas.

Pada 2024, Vijay mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan penubuhan parti politiknya sendiri iaitu Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK). Pada awalnya, ramai menganggap beliau sekadar menggunakan populariti filem untuk memasuki politik seperti selebriti lain. 

Namun tanggapan itu berubah dengan pantas apabila sokongan terhadap TVK semakin meningkat terutama dalam kalangan pengundi muda.

Ramai melihat kemunculan Vijay sebagai simbol protes terhadap politik tradisional Tamil Nadu yang selama ini didominasi dua parti besar iaitu Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK).

Pengaruh media sosial, kekuatan kelab peminat serta imej antipolitik lama turut membantu mempercepat kebangkitan politik beliau. Dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu 2026, TVK akhirnya mencipta kejutan besar apabila muncul sebagai parti terbesar dengan memenangi 108 kerusi.

Walaupun tidak memperoleh majoriti penuh, Vijay berjaya membentuk kerajaan melalui sokongan beberapa parti kecil termasuk Communist Party of India, Communist Party of India (Marxist) dan Indian Union Muslim League. 

Kemenangan itu sekali gus menamatkan dominasi tradisional DMK dan AIADMK yang selama ini silih berganti memerintah negeri tersebut.

Pada usia 51 tahun, Vijay akhirnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu dalam satu majlis penuh simbolik di Stadium Jawaharlal Nehru yang dihadiri ribuan penyokong.

Bagi ramai peminat, ia seperti melihat plot filem Vijay menjadi kenyataan. Jika dahulu beliau sering melakonkan watak lelaki biasa yang bangkit melawan korupsi dan membantu rakyat miskin. Hari ini, beliau berada dalam dunia sebenar yang jauh lebih mencabar daripada mana-mana skrip filem.

Fenomena Vijay menarik perhatian kerana memperlihatkan bagaimana budaya popular mampu mempengaruhi politik moden. Dalam dunia hari ini, personaliti dan hubungan emosi dengan rakyat memainkan peranan besar dalam menentukan kejayaan seseorang pemimpin.

Namun begitu, cabaran sebenar Vijay baru sahaja bermula kerana menjadi hero filem dan menjadi pemimpin negeri adalah dua perkara yang berbeza.

Rakyat Tamil Nadu kini bukan lagi menilai beliau berdasarkan dialog hebat atau adegan aksi, tetapi melalui kemampuannya mentadbir ekonomi, membantu rakyat serta membawa kestabilan politik.

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat