MIRI: Pakej pelancongan mesra Muslim ke pelbagai destinasi antarabangsa termasuk London, Venice, Kaherah, Türkiye, Dubai, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand antara tarikan utama Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26), yang berlangsung di sini dari 28 hingga 30 Ogos ini.

Penganjuran itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pakej umrah, haji dan pelancongan antarabangsa yang ditawarkan agensi anggota Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA).
Pengerusi SUHA merangkap Pengerusi SUITEX26, Haji Ruzaiman Ghazalee berkata, umrah dan haji kekal menjadi fokus utama persatuan, namun sebahagian agensi anggotanya turut mengembangkan perkhidmatan kepada sektor pelancongan antarabangsa.
Menurutnya, selain destinasi popular, beberapa agensi turut meneroka pasaran baharu termasuk Amsterdam, Frankfurt, Balkan, Sydney, Uzbekistan, China, Indonesia, Bangkok dan Vietnam.

“Pelancongan mesra Muslim bukan sekadar mengenai ibadah, tetapi turut memberi peluang menikmati alam semula jadi, budaya, sejarah dan pengalaman tempatan.
“Pengalaman mengurus perjalanan umrah termasuk penyelarasan penerbangan, penginapan, pengangkutan dan kumpulan menjadi asas yang boleh dimanfaatkan agensi untuk mengendalikan perjalanan ke destinasi lain,” katanya dalam kenyataan.
Timbalan Pengerusi SUHA, Haji Ali Samson bin Haji Ali berkata, agensi turut melihat peluang untuk menarik lebih ramai pelancong luar mengenali Sarawak.
Menurutnya, Sarawak mempunyai pelbagai tarikan termasuk alam semula jadi, makanan, budaya dan kehidupan masyarakat berbilang kaum yang berpotensi diketengahkan kepada pelancong, termasuk dari pasaran Muslim.
Bendahari SUHA, Wan Zakaria pula berkata, kedudukan Miri yang berhampiran Brunei dan Sabah serta hubungan dengan rakan industri di Kalimantan Barat membuka peluang untuk meneroka kerjasama pelancongan serantau.


SUITEX26 dianjurkan dalam landskap pelancongan negeri di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang diterajui Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penganjuran itu menjadi platform untuk pengunjung mendapatkan maklumat mengenai pakej umrah, haji dan pelancongan antarabangsa, selain membuka lebih banyak pilihan perjalanan dari Sarawak ke destinasi luar negara.



