ARTIKEL

Gambar Hiasan

Daripada latihan kepada pembinaan kompetensi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Apabila pengurus lepas tangan

Satu lagi kelemahan kebanyakan organisasi ialah kecenderungan mereka menganggap bahawa keperluan latihan merupakan tanggungjawab HR semata-mata.

Sebenarnya, tanggungjawab itu bukan terletak pada HR sahaja. HR boleh menyediakan kerangka kerja, alatan, kepakaran dan penyelarasan.

Namun, HR tidak memerhatikan prestasi karyawan setiap hari.

HR tidak menguruskan hubungan dengan pelanggan, menyelia proses operasi atau merasa sendiri cabaran prestasi secara langsung di barisan hadapan.

Semua tanggungjawab ini terletak pada pengurus. Namun, di kebanyakan organisasi, pengurus hanya mengisi borang pencalonan latihan tahunan dan menyerahkan selebihnya kepada HR.

Tanpa disedari, tindakan sedemikian menyebabkan mereka melepaskan salah satu tanggungjawab kepimpinan yang paling penting, iaitu membina keupayaan dan kompetensi dalam pasukan masing-masing.

Pemahaman yang paling tepat tentang keperluan pembangunan tidak diperoleh melalui kajian selidik tahunan semata-mata, sebaliknya melalui perhatian berterusan, sesi bimbingan, semakan projek, maklum balas pelanggan, perbincangan prestasi dan interaksi di tempat kerja.

Pembinaan keupayaan dan kompetensi karyawan sepatutnya menjadi proses pengurusan sepanjang tahun, bukannya sekadar proses pentadbiran tahunan.

Apabila perbincangan tentang pembangunan keupayaan dan kemahiran hanya berlaku semasa penyerahan belanjawan atau ketika penilaian prestasi, organisasi akan terlepas banyak peluang untuk mengenal pasti keperluan keupayaan yang baharu muncul.

Perbezaan amalan organisasi berprestasi tinggi

Organisasi yang maju jarang bergantung sepenuhnya pada kajian selidik keperluan latihan tahunan. Sebaliknya, organisasi sedemikian sentiasa meneliti jurang keupayaan dengan menggunakan pelbagai sumber maklumat.

Antaranya termasuklah meneliti strategi perniagaan bagi mengenal pasti keupayaan serta kompetensi yang diperlukan pada masa hadapan, menyemak data operasi untuk mengenal pasti kelemahan prestasi, menganalisis aduan pelanggan dan trend keupayaan pelanggan, menilai penal penguruan serta saluran pembangunan kepimpinan, di samping meneliti hasil projek, usaha inovasi, petunjuk kualiti dan ukuran produktiviti.

Paling penting, mereka menghubungkaitkan pelaburan dalam pembelajaran secara langsung dengan hasil perniagaan.

Dalam organisasi sedemikian, latihan tidak dilihat sebagai aktiviti HR yang terpisah daripada operasi harian. Sebaliknya, latihan dianggap sebagai pelaburan perniagaan.

Setiap inisiatif pembangunan diharapkan dapat memperkukuh keupayaan karyawan dan organisasi.

Fokus perbincangan berubah daripada “Berapa ramai orang yang menghadiri latihan?” kepada “Apakah kompetensi yang dipertingkatkan dalam organisasi?”

Persoalan itu jauh lebih bermakna berbanding dengan sekadar menghitung bilangan karyawan yang mengikuti latihan.

Daripada program latihan kepada pembinaan kompetensi, keupayaan

Penulisan ini tidak bermaksud menghapuskan sepenuhnya kajian selidik keperluan latihan tahunan. Pandangan karyawan kekal berharga dan dapat memberikan gambaran yang berguna tentang aspirasi pembangunan individu.

Walau bagaimanapun, kajian selidik tersebut sepatutnya menjadi salah satu sumber maklumat, bukannya asas kepada keseluruhan strategi pembelajaran.

Organisasi yang benar-benar mahu memastikan pelaburan dalam pembelajaran memberikan impak perlu melangkau bilangan permohonan kursus dan mula mendiagnosis keperluan keupayaan, kemahiran serta kompetensi.

Urutannya sepatutnya jelas dan teratur:

Strategi Perniagaan -> Keupayaan yang Diperlukan -> Jurang Prestasi -> Penyelesaian Pembangunan (Latihan?) -> Hasil Perniagaan

Perhatikan bahawa latihan hanya muncul pada penghujung proses tersebut.

Di situlah kedudukan latihan yang sepatutnya. Organisasi yang mampu berkembang pesat pada tahun-tahun mendatang bukan semestinya organisasi yang menjalankan paling banyak program latihan.

Sebaliknya, organisasi yang berjaya ialah organisasi yang membina kompetensi secara sistematik bagi melaksanakan strategi, menyediakan diri dengan perubahan dan mengatasi pesaing.

Peralihan sedemikian bermula dengan mengemukakan soalan yang berbeza.

Bukan, “Apakah latihan yang diperlukan oleh karyawan kita?” Sebaliknya, “Apakah keupayaan, kemahiran dan kompetensi yang mesti kita miliki?”

Penutup

Cabaran pembelajaran terbesar yang dihadapi oleh kebanyakan organisasi hari ini bukanlah kekurangan program latihan.

Kita sebenarnya tersilap apabila beranggapan bahawa program latihan dan keupayaan serta kompetensi organisasi merupakan perkara sama.

Hakikatnya, kedua-duanya berbeza. Satu memerlukn bilik darjah, manakala satu lagi memacu hasil.

Apabila keperluan latihan dikenal pasti melalui borang semata-mata, organisasi hanya menghasilkan program latihan.

Sebaliknya, apabila keperluan latihan dikenal pasti berdasarkan strategi perniagaan dan bukti prestasi, organisasi akan membina keupayaan serta kompetensi.

Keupayaan dan kompetensi inilah yang memacu hasil serta produktiviti organisasi.

Berubahlah dengan rentak pantas, bertindaklah dengan tangkas. Insya-Allah, saingan bakal ditundukkan.

• Penulis ialah mantan pengurus besar Sumber Manusia, Shell Malaysia EP, dan masih giat berkongsi pengalamannya tentang pengurusan sumber manusia melalui latihan dan syarahan. Pernah menjadi pensyarah Pengurusan Sumber Manusia di beberapa universiti termasuk University of Swinburne, Kuching.

BERITA LAIN

Di sebalik sembilan ketul ayam goreng

“Bah, mapun paser telou. Bak keman gak KFC” (Jom, kita pergi pasar. Nak makan di KFC). Itulah antara ayat yang paling kami nantikan daripada ibu

AMPAIAN PRAKTIKAL untuk ruang terhad

Kini, terdapat pelbagai reka bentuk ampaian yang bukan sahaja praktikal, malah disesuaikan dengan keperluan kediaman moden. Pemilihannya boleh dibuat berdasarkan keluasan ruang, kekerapan penggunaan serta

BERITA TERBARU

Di sebalik sembilan ketul ayam goreng

“Bah, mapun paser telou. Bak keman gak KFC” (Jom, kita pergi pasar. Nak makan di KFC). Itulah antara ayat yang paling kami nantikan daripada ibu

AMPAIAN PRAKTIKAL untuk ruang terhad

Kini, terdapat pelbagai reka bentuk ampaian yang bukan sahaja praktikal, malah disesuaikan dengan keperluan kediaman moden. Pemilihannya boleh dibuat berdasarkan keluasan ruang, kekerapan penggunaan serta