ARTIKEL

Di sebalik sembilan ketul ayam goreng

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“Bah, mapun paser telou. Bak keman gak KFC”

(Jom, kita pergi pasar. Nak makan di KFC).

Itulah antara ayat yang paling kami nantikan daripada ibu dan ayah ketika kami masih kecil. Setiap kali mendengarnya, hati terasa begitu gembira, seolah-olah hari itu menjadi hari paling istimewa buat kami adik-beradik.

Ketika itu, KFC bukan sekadar tempat menikmati makanan segera, tetapi juga sumber kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Tidak perlu hadiah mahal atau sambutan besar-besaran.

Cukuplah apabila ibu dan ayah mengajak kami menikmati ayam goreng kegemaran bersama-sama.

Sebagai anak kecil, kami tidak pernah terfikir berapa banyak wang yang perlu disediakan untuk membawa kami makan di sana.

Kami juga tidak tahu berapa banyak perkara yang mungkin terpaksa diketepikan oleh ibu dan ayah demi mengembirakan anak-anak mereka.

KFC mula bertapak di Mukah pada 2010. Sebelum kehadirannya, hanya terdapat SugarBun yang turut dianggap sebagai tempat makan yang bagai kami di Mukah ketika itu.

Kini, apabila sudah dewasa dan mempunyai pendapatan sendiri, barulah terasa betapa besarnya nilai setiap ajakan itu.

Rupa-rupanya, di sebalik kegembiraan kami menikmati KFC, ada pengorbanan ibu dan ayah yang tidak pernah kami fahami ketika itu.

Andai masa boleh diputar kembali, mungkin kita mahu sekali lagi mendengar ayat sederhana itu daripada mereka.

Bukan kerana terlalu menginginkan ayam goreng KFC, tetapi kerana mahu kembali merasai kegembiraan menjadi seorang anak kecil yang masih bergantung sepenuhnya kepada ibu dan ayah.

Kisah Aiman yang tular di media sosial baru-baru ini selepas membelikan keluarganya sembilan ketul ayam dan burger ayam rangup menggunakan wang hasil titik peluh sendiri mengimbau kenangan tersebut.

Bagi sesetengah orang, membeli beberapa ketul ayam goreng dan burger mungkin bukan sesuatu yang luar biasa.

Namun, bagi Aiman, pemberian itu membawa kepuasan tersendiri kerana dia kini berpeluang berkongsi rezeki dengan keluarga menggunakan wang hasil usahanya sendiri.

Mungkin ramai yang pernah berada dalam situasi yang sama, iaitu ketika masih kecil, kita hanya menerima pemberian ibu bapa sebelum tiba masanya mempunyai pendapatan sendiri dan berpeluang membalas kegembiraan tersebut.

Jika dahulu kita menunggu ibu dan ayah membelikan makanan untuk kita, kini apabila sudah bekerja, timbul pula keinginan untuk membawa mereka menikmati hidangan yang sama.

Barangkali, itulah cara kecil kita membalas kegembiraan yang pernah mereka usahakan.

Ada kepuasan tersendiri apabila dapat membeli sesuatu menggunakan wang hasil titik peluh sendiri, lebih-lebih lagi apabila wang tersebut digunakan untuk mengembirakan orang yang selama ini banyak berkorban untuk kita.

Mungkin itulah yang dirasai Aiman apabila dapat menyediakan sembilan ketul ayam dan burger untuk keluarganya.

Jumlah itu mungkin tidak membawa makna besar kepada orang lain, tetapi kepuasan kerana dapat berkongsi rezeki dengan insan tersayang tentunya mempunyai nilai yang tersendiri.

Ada yang mengingati KFC sebagai makan ketika mendapat keputusan peperiksaan, ada yang menjadikannya pilihan setiap kali menyambut hari lahir, manakala ada juga yang mengaitkannya dengan kenangan makan bersama-sama keluarga selepas seharian melakukan aktiviti.

Menurut saya, bahagian paling menyenonok bukan sekadar menikmati ayam goreng, tetapi suasana ketika semua orang berkumpul di meja makan.

Ada yang sibuk memilih bahagian ayam kegemaran, ada yang berebut kentang putar dan ada juga yang memastikan setiap orang mendapat makanan secukupnya.

Perkara kecil seperti itulah yang akhirnya menjadi kenangan besar apabila masing-masing semakin dewasa.

Dalam kehidupan, kita sering mengukur kejayaan berdasarkan pencapaian besar seperti memperoleh pekerjaan tetap, memiliki rumah, memiliki kereta atau mempunyai simpanan yang banyak.

Namun, kita kadangkala terlupa kemampuan membahagiakan keluarga juga merupakan satu bentuk kejayaan.

Tidak semua orang mempunyai pendapatan besar untuk membawa keluarga bercuti atau menikmati hidangan mewah. Ada yang hanya mampu membeli makanan kegemaran mereka sekali-sekala, tetapi pemberian sederhana itu tetap boleh mencipta kenangan yang berharga.

Lebih menyentuh hati apabila kita mendengar bahawa ibu dan ayah yang dahulu bersusah payah mengembirakan kita kini semakin berusia.

Dalam masa yang sama, kita pula semakin sibuk dengan pekerjaan, komitmen dan tanggungjawab sendiri.

Adakalanya, kita terlalu mengejar kehidupan yang lebih baik sehingga terlupa untuk meluangkan masa bersama mereka.

Kita merancang untuk membawa mereka makan pada hujung minggu, menangguhkan ajakan ke bulan hadapan atau menunggu masa yang lebih sesuai.

Hakikatnya, tidak semua perkara boleh ditangguhkan. Masa terus berjalan dan kesempatan untuk duduk semeja bersama-sama keluarga bukan sesuatu yang boleh dijamin akan sentiasa ada.

Mungkin suatu hari nanti, kita akan merindui suara ibu yang bertanya siapa yang mahukan bahagian ayam tertentu, gurauan ayah ketika makan bersama atau suasana berebut-rebut memilih makanan di atas meja.

Ketika itu, KFC masih boleh dibeli, malah mungkin kita sudah mampu membelinya tanpa perlu memikirkan soal harga. Namun, suasana dan insan yang pernah menjadikan hidangan itu begitu istimewa belum tentu dapat dikembalikan.

Sebab itulah kisah Aiman wajar dilihat lebih daripada sekadar kisah seorang anak yang membelikan keluarganya sembilan ketul ayam dan burger.

Kisah itu mengingatkan kita kebahagiaan juga hadir apabila seseorang yang pernah menerima pemberian akhirnya mempunyai peluang untuk membalas pemberian tersebut.

Kita pernah menjadi anak yang tersenyum menerima sekotak makanan daripada keluarga sebelum tiba masanya kita pula menjadi orang yang menggunakan hasil titik peluh sendiri untuk membelikan makanan kepada mereka.

Jadi, jika hari ini kita masih mempunyai peluang untuk mendengar ajakan ibu dan ayah menikmati KFC, sambutlah dengan penuh penghargaan.

Jika sudah mempunyai kemampuan, apa salahnya sesekali kita pula mengajak mereka keluar makan.

Hal ini demikian kerana sembilan ketul ayam mungkin boleh dibeli lagi, tetapi zaman ketika kita masih kecil, ibu dan ayah masih ber tengaga serta seluruh keluarga dapat berkumpul di meja makan yang sama merupakan kenangan yang tidak mungkin dapat dibeli semula.

BERITA LAIN

AMPAIAN PRAKTIKAL untuk ruang terhad

Kini, terdapat pelbagai reka bentuk ampaian yang bukan sahaja praktikal, malah disesuaikan dengan keperluan kediaman moden. Pemilihannya boleh dibuat berdasarkan keluasan ruang, kekerapan penggunaan serta

Mancung Di Muara PENUH EMOSI

Sorakan peminat, nyanyian beramai-ramai dan deretan lagu kegemaran menjadikan Konsert Manggung di Muara di Tebingan Kuching meriah apabila penampilan artis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei

BERITA TERBARU

AMPAIAN PRAKTIKAL untuk ruang terhad

Kini, terdapat pelbagai reka bentuk ampaian yang bukan sahaja praktikal, malah disesuaikan dengan keperluan kediaman moden. Pemilihannya boleh dibuat berdasarkan keluasan ruang, kekerapan penggunaan serta

Mancung Di Muara PENUH EMOSI

Sorakan peminat, nyanyian beramai-ramai dan deretan lagu kegemaran menjadikan Konsert Manggung di Muara di Tebingan Kuching meriah apabila penampilan artis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei