Sorakan peminat, nyanyian beramai-ramai dan deretan lagu kegemaran menjadikan Konsert Manggung di Muara di Tebingan Kuching meriah apabila penampilan artis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei menghidupkan pentas menerusi persembahan yang menghiburkan serta menyentuh emosi.
Seawal jam 5.00 petang, peminat mula memenuhi kawasan konsert bagi mendapatkan tempat untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi secara langsung.
Penantian itu akhirnya berbaloi apabila lagu demi lagu disambut dengan sorakan, nyanyian bersama-sama dan tepukan penonton yang memenuhi kawasan tebingan Sungai Kuching.
Berlangsung dari jam 6.50 petang hingga 11.45 malam, konsert itu menghimpunkan pelbagai genre muzik dan gaya persembahan yang memberikan pengalaman berbeza kepada penonton yang hadir.
Di sebalik kemeriahan pentas, penganjur acara itu turut membawa misi lebih besar dalam memperkukuh hubungan seni serantau menerusi pertemuan artis dari tiga negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, gabungan artis dari tiga negara itu membuka ruang kepada jaringan kerjasama lebih erat dalam industri seni persembahan.
“Harapan kita dengan gandingan artis-artis dari Malaysia, Indonesia dan Brunei ini, Insya-Allah akan dapat merapatkan lagi hubungan mereka dalam dunia kesenian dan dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Manggung di Muara di Tebingan Kuching.
Tambahnya, penganjuran acara hiburan berskala besar di Kuching turut berpotensi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya dari Indonesia, sekali gus memberikan limpahan manfaat kepada industri pelancongan negeri.
“Acara seperti ini mempunyai nilai yang lebih luas daripada sekadar hiburan kerana mampu membuka peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang, selain menggalakkan hubungan antara penggiat seni dari negara jiran.
“Justeru, kementerian saya komited untuk terus menyokong penganjur tempatan, terutama golongan muda yang mengambil inisiatif menganjurkan acara seni dan hiburan,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran konsert seperti itu membuktikan kesungguhan anak muda membantu membangunkan industri kreatif tempatan.
“Kementerian sentiasa akan memberi sokongan kepada golongan muda ini untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka. Memang banyak yang perlu dipertingkatkan, tetapi yang penting mesti ada permulaannya,” jelasnya.
Sokongan itu turut membuka peluang kepada penganjur muda untuk membina pengalaman, membina rangkaian kerjasama dan mengembangkan potensi industri kreatif tempatan.
Kembali ke pentas utama, persembahan bermula pada jam 6.50 petang dengan penampilan Adruce Azman, Sasha Ningkan dan Naki yang memanaskan suasana sebelum Aziz Harun dan Aisha Retno mengambil alih pentas sekitar jam 8.00 malam.
Aziz mencuri perhatian apabila membawakan lagu terbaharunya, Telepati, yang dilancarkan pada 16 Mei lalu sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Senyum yang dekat di hati peminatnya.
Sorakan penonton mengiringi persembahan itu, dengan sebahagian mereka turut menyanyi bersama-sama mengikut rentak muzik.
Interaksi tersebut menjadikan suasana di hadapan pentas semakin meriah, sekali gus memperlihatkan keterujaan peminat bertemu dengan penyanyi kegemaran mereka.
Aisha kemudian meneruskan kemeriahan menerusi lagu Sutera yang menyerlahkan keupayaan vokalnya sebelum membawakan lagu Jodoh Lebaran.
Lagu yang sinonim dengan suasana Aidilfitri itu mengundang reaksi meriah apabila penonton mula berjoget dan menyanyi bersama-sama, menjadikan ruang di hadapan pentas semakin hidup.
Persembahannya diteruskan dengan lagu Tak Adil yang mengangkat kisah kecewaan dalam percintaan.
Penonton yang turut menyanyikan liriknya memperlihatkan bagaimana lagu yang dekat dengan pengalaman peribadi mampu membina hubungan emosi antara penyanyi dengan pendengar.
Sekitar jam 9.10 malam, Ari Lesmana mengambil alih pentas dengan persembahan yang membawa penonton menyelami sisi muzik berbeza menerusi rangkaian lagu pilihannya.
Penyanyi Indonesia itu membuka persembahan dengan Cinta Ini Membunuhku, lagu yang dipopularkan oleh kumpulan D’Masiv, sebelum beralih kepada lagu Ada Titik-Titik di Hujung Doa nyanyian Sal Priadi.
Ari kemudian membawakan lagu Zona Nyaman, karya kumpulannya, Fourtwnty, yang sudah lama tidak dinyanyikannya dalam persembahan di pentas.
Namun, antara detik yang paling mencuri perhatian ialah ketika beliau menyampaikan lagu Mangu yang pernah tular di media sosial dan mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Peminat menyambut lagu itu dengan nyanyian beramai-ramai sehingga suasana terasa seolah-olah seluruh penonton menjadi sebahagian daripada persembahan.
Detik itu memperlihatkan bagaimana sesebuah karya mampu melangkaui pentas dan menyatukan orang ramai menerusi melodi yang dikenali ramai.
Daripada kemeriahan itu, suasana beralih menjadi lebih sayu apabila Ari membawakan lagu Sesi Potret yang menyentuh tema kehilangan insan tersayang.
Penyampaiannya yang penuh penghayatan menyentuh perasaan penonton, malah ada yang menitiskan air mata ketika menghayati lagu tersebut. Detik itu memperlihatkan sisi muzik yang lebih mendalam.
Di sebalik irama dan melodi, sebuah lagu mampu menjadi ruang untuk mengenang insan yang dirindui, menyelami kesedihan dan meluahkan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Menjelang penghujung malam, Nadhif Basalamah muncul sebagai antara tarikan terakhir konsert menerusi rangkaian lagu yang dinanti-nantikan peminat, termasuk Bergema Sampai Selamanya.
Persembahannya turut diserikan dengan detik istimewa apabila beliau bergandingan dengan Aziz Harun dan Aisha Retno menerusi lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu serta Penjaga Hati.
Gabungan suara ketiga-tiga penyanyi itu menjadi antara tarikan pada penghujung konsert, sekali gus memperlihatkan keserasian artis dari Malaysia dan Indonesia ketika berkongsi pentas.
Kolaborasi itu turut memberikan kelainan kepada persembahan malam berkenaan apabila peminat berpeluang menyaksikan penyanyi daripada negara yang berbeza bergabung dalam satu persembahan.
Konsert yang berakhir sekitar jam 11.45 malam itu meninggalkan pelbagai kenangan buat penonton, daripada sorakan dan nyanyian beramai-ramai hinggalah detik penuh emosi yang menyentuh perasaan.




