KUCHING: Kesatuan Kakitangan Sokongan Jabatan Pelajaran Sarawak (KEKASA) terus memperkukuh organisasi serta meningkatkan kompetensi anggota menerusi penganjuran program sehari yang merangkumi ceramah, perkongsian ilmu dan bengkel.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sarawak (JHEKS), Tujoh Bachat.

Turut hadir Presiden KEKASA, Mordiah Buga, dan Setiausaha Agung KEKASA, Datin Rozalena Jedil, serta ahli kesatuan.
Dalam ucapan perasmiannya, Tujoh merakamkan penghargaan kepada KEKASA atas jemputan untuk merasmikan program berkenaan, selain menyampaikan ceramah bertajuk Peranan dan Faedah Berkesatuan.
Beliau menggalakkan KEKASA supaya terus memperluas keanggotaan dengan menarik lebih ramai ahli dari seluruh daerah dan bahagian di Sarawak.
“KEKASA perlu terus berusaha memperluas keanggotaan dengan menarik lebih ramai ahli supaya organisasi ini terus berkembang dan mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan anggotanya,” katanya.
Menurutnya, peruntukan yang disalurkan kepada kesatuan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi melaksanakan aktiviti dan program pembangunan organisasi seperti yang dirancang serta dikemukakan dalam kertas kerja permohonan.
“Peruntukan yang diterima hendaklah digunakan untuk tujuan pembangunan organisasi serta melaksanakan aktiviti dan program yang telah dirancang. Permohonan juga perlu bersesuaian dengan jumlah keahlian, kepakaran dan program yang ingin dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan KEKASA supaya lebih proaktif mempromosikan peranan dan manfaat kesatuan menerusi pelbagai aktiviti bagi menggalakkan penyertaan serta menarik keahlian baharu.
“Kesatuan perlu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan peranan dan manfaat berkesatuan kepada lebih ramai penjawat awam agar mereka memahami kepentingan menyertai kesatuan,” jelasnya.
Program sehari itu turut diisi dengan beberapa sesi ceramah dan bengkel yang dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak serta agensi berkaitan.
Antara pengisian yang disediakan termasuk ceramah Bantuan Awal Semasa Kecemasan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak, selain perkongsian mengenai Peranan Kaunselor Organisasi yang disampaikan oleh Kaunselor Organisasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan, Helen Thomas.
Peserta turut mengikuti ceramah bertajuk Memperkasa Integriti Penjawat Awam yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Integriti JPN Sarawak, Valentine Gabriel Bain.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) yang dikendalikan oleh Edufluencer Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fazrul Mustaqim Sahmat.
Bengkel itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan teknologi AI serta potensi penggunaannya bagi meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugasan harian.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen KEKASA untuk memperkukuh organisasi, menjaga kebajikan anggota serta meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan integriti dalam kalangan ahlinya.
Inisiatif seumpama itu diharap dapat diteruskan bagi memastikan anggota KEKASA sentiasa mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam mendepani perubahan serta tuntutan persekitaran kerja semasa.



